PRN Sabah : PKR terima mesej dan petunjuk daripada rakyat
KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghormati dan menerima keputusan rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN-17) dengan rendah diri dan dengan hati terbuka.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu menjadi peringatan dan pengajaran berharga kepada mereka yang berjuang dengan ikhlas demi rakyat.
Nurul Izzah berkata, PKR diberi peluang bertanding di 12 kerusi, menunjukkan peningkatan keyakinan rakyat terhadap parti di bumi Sabah.
Katanya, walaupun kemenangan tidak besar dari segi angka, kekuatan sebenar terletak pada tekad dan kesungguhan jentera serta anggota parti.
“Pengorbanan jentera parti dan akar umbi amat dihargai. Ada yang cedera ketika menegakkan bendera, ada juga wanita yang bergotong-royong menyediakan makanan sejak awal pagi bagi memastikan kelancaran kempen,” ujarnya dalam kenyataan bersama hari ini.
Menurut Nurul Izzah, keputusan PRN Sabah turut mencerminkan sentimen rakyat terhadap tadbir urus, ketelusan, dan kepimpinan tempatan.
“Mesej jelas yang diterima adalah bahawa ketidaksepakatan bukan sahaja melemahkan kekuatan politik, malah menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan parti menawarkan kepimpinan yang stabil dan bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, mereka mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas keputusan itu dan menegaskan bahawa perjalanan perjuangan bukan hanya diukur melalui kemenangan tetapi melalui keupayaan menilai kelemahan, memperbaiki dan bangkit semula dengan lebih baik.
Katanya, PKR juga mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya termasuk kerusi tunggal yang dimenangi parti itu dan menekankan agar amanah dipikul dengan kesungguhan demi kepentingan rakyat.
Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN Sabah ke–17 semalam.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri, Parti Warisan (25), Barisan Nasional (6), Bebas (5), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (3), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (2) manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang satu kerusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








