JENAYAH & MAHKAMAH

KDN pandang serius insiden serangan terhadap anak Rafizi

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pihaknya memandang serius insiden serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di Putrajaya hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah menghubungi Rafizi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut bagi menyampaikan rasa simpati dan keprihatinan terhadap keluarga berkenaan.

“Saya mendoakan agar anak beliau segera pulih dan keluarga tabah menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Saifuddin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Beliau menegaskan, siasatan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang tanpa mengira status atau latar belakang mana-mana pihak, selaras dengan peranan PDRM memastikan keselamatan rakyat termasuk kanak-kanak.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan, dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman.

“Saya menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut undang-undang,” katanya lagi.

Sementara itu, Rafizi dalam satu hantaran di Facebook mendakwa dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar menyerang anak lelakinya yang berusia 12 tahun di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada jam 1.45 tengah hari.

Menurutnya, ketika kejadian, anaknya berada bersama isteri beliau dan diserang secara tiba-tiba oleh seorang lelaki yang mengheretnya sebelum mencucuk dengan jarum suntikan ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan kawasan tersebut.

“Semakan mendapati dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal mengekori kereta isteri saya. Saya percaya mereka telah merancang serangan ini lebih awal,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button