Rafizi, Nik Nazmi serah surat kosongkan kerusi Parlimen masing-masing
KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengumumkan telah menghantar surat peletakan jawatan masing-masing sebagai ahli parlimen kepada Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul.
Pengumuman itu dibuat kedua mereka dalam satu kenyataan bersama yang menegaskan pengosongan kerusi Parlimen itu dibuat kerana hasrat untuk meneroka hala tuju politik baharu.
Semalam, Rafizi selaku Ahli Parlimen Pandan yang merupakan bekas Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi selaku Ahli Parlimen Setiawangsa dan juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengumumkan langkah berundur dari PKR dan mula menerajui parti baharu iaitu Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
““Langkah yang tepat dan terhormat adalah memulangkan kembali mandat itu kepada pengundi di Parlimen Pandan dan Setiawangsa, memandangkan kami dipilih atas tiket PH pada PRU lalu.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi Pandan dan Setiawangsa yang memilih kami mewakili mereka di Parlimen untuk dua penggal.
“Bagaimanapun, pusat khidmat kami akan beroperasi seperti biasa untuk terus memberi bantuan dan khidmat kepada pengundi,” kata mereka dalam kenyataan dimuat naik di Facebook Nik Nazmi hari ini.
Berikutan itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, PKR menggugurkan keanggotaan Rafizi dan Nik Nazmi mengikut Fasal 9(1)(c) dalam Perlembagaan parti selepas menerima hasrat keluar parti daripada kedua-dua mereka.
Sementara itu, Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat sebentar tadi mengesahkan pihaknya menerima notis peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen daripada Rafizi dan Nik Nazmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








