BERITA SEMASA

RM5 bilion perkukuh internet, buka peluang ekonomi digital luar bandar – Fahmi

KUALA LUMPUR – Peruntukan RM5 bilion bagi pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan memperkukuh infrastruktur internet negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi digital kepada penduduk luar bandar.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha itu merangkumi peluasan liputan 4G ke semua kampung Orang Asli, selain meningkatkan ketersambungan di sepanjang 7,000 kilometer jalan raya dan 1,700 kilometer laluan rel.

“Pelaksanaan JENDELA fasa pertama berjaya menangani sebahagian jurang ketersambungan antara kawasan bandar dan luar bandar, namun cabaran baharu timbul apabila liputan internet tidak menyeluruh di luar kawasan penempatan tertentu.

“Jadi kita nampak ada masalah untuk kita pastikan dari segi kesalinghubungan, connectivity itu, dia adalah terhubung.

“Connectivity itu sendiri terhubung. Ini penting untuk perkembangan ekonomi digital,” katanya dalam siaran langsung program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, hari ini.

Menurutnya, ekonomi digital dianggarkan menyumbang lebih 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus menunjukkan kepentingan penyediaan internet yang lebih meluas, pantas, mampu milik dan selamat.

“Kemudahan internet yang berkualiti bukan sahaja memberi manfaat kepada peniaga dalam talian, malah membantu pelajar mengikuti pembelajaran digital serta memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan mengakses perkhidmatan kerajaan.

“Penggunaan teknologi digital termasuk rangkaian 5G juga mampu meningkatkan kecekapan sektor pertanian menerusi aplikasi Internet Kebendaan (IoT) dan robotik.

“Sebagai contoh, katanya, teknologi sensor boleh digunakan untuk mengesan buah durian yang sudah matang dan gugur, sekali gus membolehkan pemilik dusun menerima maklumat dengan segera untuk mengutip hasil berkenaan,” tambahnya.

Dalam sektor perladangan pula, teknologi digital berpotensi membantu pekerja memantau keadaan tanah, penggunaan baja dan pelbagai operasi pertanian dengan lebih cekap.

Bagaimanapun, beliau mengakui liputan internet di kawasan ladang sawit berdepan cabaran berikutan pelepah pokok yang boleh menghalang isyarat daripada menembusi kawasan tertentu.

Justeru, pemahaman lebih mendalam mengenai manfaat teknologi 5G diperlukan bagi menggalakkan penyedia telekomunikasi memperluas kemudahan berkenaan ke kawasan pertanian dan perladangan.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang diusahakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut membantu usahawan tempatan memanfaatkan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan.

“Hampir 17,000 usahawan telah dilatih bagi menggunakan teknologi digital dan memasarkan produk masing-masing melalui platform dalam talian.

“Sebagai contoh, produk makanan tradisional seperti sambal tuhau yang dihasilkan usahawan di Sabah boleh dipasarkan ke seluruh negara tanpa memerlukan mereka hadir secara fizikal ke Kuala Lumpur atau bergantung kepada pasar raya besar,” tambahnya.

Katanya, MCMC turut membantu usahawan memahami teknik pemasaran dalam talian, mengenal pasti kumpulan sasaran serta mengurus proses penghantaran produk kepada pelanggan.

Oleh itu, peluasan infrastruktur digital menerusi JENDELA dan kemudahan di NADI diharap dapat meningkatkan pendapatan isi rumah, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Beliau turut memberikan contoh di Pulau Banggi, Sabah, apabila kemudahan NADI di kawasan pekan Karakit membolehkan kanak-kanak tempatan mempelajari kecerdasan buatan (AI) tanpa perlu ke Kota Kinabalu.

“Akses kepada teknologi dan ilmu digital mampu membuka peluang baharu kepada generasi muda untuk meningkatkan kemahiran serta membina kerjaya tanpa perlu meninggalkan kampung halaman.

“Dan harapan saya sebenarnya dengan internet yang lebih laju dan kita tahu bagaimana nak gunakan dengan selamat, dan aksesnya murah, hasrat saya adalah kita nak berbalik di sebuah pemigrasi urban ini.

“Dan anak-anak boleh kekal di kampung masing-masing, tapi boleh bekerja dengan baik, boleh mendapat pendapatan yang lumayan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button