BERITA SEMASA

Jangan sebar grafik palsu sebelum Belanjawan 2027 dibentang – Fahmi

LABUAN – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat tidak disahkan berkaitan Belanjawan 2027, termasuk grafik yang kelihatan seperti pengumuman rasmi kerajaan.

Memetik laporan Bernama, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, terdapat kemungkinan pihak tertentu cuba mengeluarkan maklumat lebih awal di media sosial sebelum pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, antara kandungan yang perlu diberi perhatian ialah grafik mengelirukan serta imej yang dimanipulasi menggunakan logo atau gambar organisasi media bagi memberikan gambaran seolah-olah maklumat itu datang daripada sumber yang sah.

“Saya menjangkakan mungkin ada pihak yang cuba mendahului ucapan Perdana Menteri. Tidak perlulah menggunakan media sosial untuk berbuat demikian.

“Mungkin ada pihak yang menyalahgunakan gambar atau logo organisasi media dan menghasilkan grafik yang sebenarnya langsung tiada kaitan dengan apa yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Kementerian Komunikasi bernilai RM9 juta di sini, hari ini.

Fahmi berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan organisasi media yang mempunyai kredibiliti selain melakukan semakan silang sebelum mempercayai atau berkongsi kandungan tular.

Katanya, pembentangan Belanjawan 2027 akan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media, sekali gus membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat tepat daripada sumber berautoriti.

“Semak dengan teliti sama ada maklumat itu sahih atau sebaliknya.

“Jangan terus percaya atau berkongsi sesuatu maklumat hanya kerana ia kelihatan meyakinkan atau memaparkan logo sesebuah organisasi media,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi meminta orang ramai melaporkan kandungan mencurigakan atau dipercayai palsu kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau memaklumkan MCMC bersama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dijangka mengadakan program kesedaran mengenai penipuan di Labuan pada 31 Oktober ini.

Program berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat setempat mengenai taktik terkini sindiket penipuan, termasuk langkah pencegahan serta tindakan yang boleh diambil sekiranya menjadi mangsa.

Fahmi berkata, masyarakat juga perlu mengetahui tindakan segera yang boleh dilakukan sekiranya wang mereka dicuri atau dipindahkan tanpa kebenaran akibat penipuan.

Hal ini kerana, peningkatan kesedaran mengenai modus operandi sindiket penting supaya masyarakat dapat mengenal pasti kegiatan mencurigakan lebih awal dan mengambil tindakan pantas bagi mengurangkan risiko kerugian kewangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button