BERITA SEMASA

Belanjawan 2027: Isu pendapatan, gaji rakyat terus diberi keutamaan

GEORGE TOWN – Isu pendapatan dan gaji rakyat perlu terus diberi keutamaan dalam merangka Belanjawan 2027, seiring usaha kerajaan memperkukuh keupayaan syarikat tempatan dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu penting supaya peningkatan produktiviti dan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan serta gaji yang lebih bermakna.

“Maka sebab itu kita melihat bahawa sudah sampai masanya perbincangan ataupun diskusi berkaitan pendapatan ataupun gaji terus diletakkan sebagai keutamaan,” katanya dalam sidang media pada majlis Program KL20@Penang 2026: Silicon Surge di Pusat Konvensyen Penang Waterfront (PWCC).

Beliau berkata, dalam merancang Belanjawan 2027, soal pendapatan perlu bergerak seiring dengan keupayaan syarikat, termasuk usaha meningkatkan keupayaan syarikat tempatan.

Katanya, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM25 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembinaan Kampus Automation, Testing and Equipment (ATE) di Batu Kawan bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor Pulau Pinang.

Akmal Nasrullah berkata, cabaran harga minyak yang masih tinggi dan prospeknya tidak menentu turut perlu diambil kira dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan pembangunan negara serta kebajikan ekonomi rakyat terus dipelihara.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan menyediakan tanah di Batu Kawan bagi pembangunan Kampus ATE, selain menyediakan dana teknologi RM50 juta untuk membantu syarikat pemula niaga dan syarikat yang mahu berkembang mendapatkan akses kepada modal.

“Kita berharap dana ini akan menjadi lebih besar dengan penyertaan pihak selain dari Pulau Pinang supaya ada satu dana yang membolehkan syarikat pemula niaga dan syarikat-syarikat di Pulau Pinang dan seluruh Malaysia mendapat akses kepada modal yang penting untuk mereka melangkah ke peringkat yang seterusnya,” katanya. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button