BISNES & EKONOMI

Depani inflasi, 75 peratus perniagaan Malaysia utamakan pasaran domestik dan disiplin operasi

KUALA LUMPUR – Kebanyakan perniagaan di Malaysia kini mengambil langkah berwaspada terhadap tekanan kos dan inflasi dengan mengamalkan disiplin operasi serta menumpukan pertumbuhan pada pasaran domestik.

Dapatan itu terkandung dalam tinjauan The Great Restructuring: ASEAN Consumer & Business Pulse Survey 2026 oleh Reeracoen Group dengan kerjasama Rakuten Insight.

Laporan sama turut mendedahkan, sebanyak 75 peratus perniagaan tempatan mengenal pasti pasaran domestik sebagai peluang pertumbuhan utama, kadar orientasi domestik tertinggi yang direkodkan berbanding negara ASEAN lain.

Dalam masa sama, sebanyak 36 peratus perniagaan mengamalkan pengambilan pekerja secara selektif bagi peranan kritikal, manakala hanya tujuh peratus yang menambah tenaga kerja secara agresif.

yohei
Yohei Yagi

Pengurus Negara Reeracoen Malaysia, Yohei Yagi berkata, keputusan sedemikian menunjukkan syarikat tempatan kini lebih memfokuskan keutamaan jangka panjang.

“Syarikat yang memperkukuh kecekapan operasi sambil melabur dalam keupayaan yang diperlukan akan berada pada kedudukan lebih baik untuk merebut peluang apabila keadaan berubah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi aspek pelaburan, sebanyak 46 peratus perniagaan memilih untuk mengekalkan tahap sedia ada manakala 16 peratus meningkatkan pelaburan, mencerminkan keutamaan syarikat dalam mengurus sumber dengan berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.

Sentimen berhemat tersebut turut tercatat dalam kalangan pengguna apabila 88 peratus responden menyatakan mereka berbelanja secara lebih berhati-hati.

Kenaikan harga makanan (64 peratus), kos bahan api dan pengangkutan (46 peratus), serta bil isi rumah (38 peratus) menjadi faktor utama yang mempengaruhi keputusan perbelanjaan mereka.

Sebagai tindak balas terhadap tekanan kos sara hidup, 54 peratus pengguna mula mencari sumber pendapatan tambahan manakala 41 peratus memilih untuk meningkatkan simpanan harian.

collin
Collin Leow

Pengarah Negara (Malaysia & Thailand) Rakuten Insight, Collin Leow pula menjelaskan, perubahan trend dalam kalangan perniagaan dan pengguna ini menunjukkan tindak balas secara pragmatik dan terancang, dan bukannya satu pengunduran daripada peluang pasaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button