BERITA SEMASA

Fadhlina akui masih belum berpuas hati pelaksanaan reformasi sekolah

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengakui masih belum berpuas hati dengan pelaksanaan program reformasi sekolah yang sedang dipantau secara dekat oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, usaha memperkukuh reformasi sekolah perlu terus disokong bagi memastikan ia mampu meningkatkan keupayaan serta daya juang seluruh warga sekolah.

“Saya memang pantau secara dekat program reformasi sekolah yang sebahagian besarnya saya belum berpuas hati lagi.

“Tapi kita akan lihat bagaimana kita boleh terus sokong dan dukung anak-anak kita ini dalam konteks melihat bahawa reformasi sekolah ini akan memberikan satu keupayaan dan daya juang yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM, di sini hari ini.

Menurut Fadhlina, seluruh warga sekolah perlu memberikan tumpuan terhadap proses reformasi berkenaan, terutama ketika kementerian melangkah ke bulan Oktober dengan masih banyak tugasan dan amanah yang perlu dilaksanakan.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan jaringan antarabangsa dalam membuka ruang kepada murid dan pendidik untuk berinteraksi dengan dunia luar.

Katanya, pengalaman melalui jaringan antarabangsa membolehkan guru, pensyarah dan murid berkongsi pengalaman serta memahami isu pendidikan daripada perspektif lebih luas.

Beliau berkata, nilai sebenar sesuatu jaringan antarabangsa bukan sekadar sijil atau pengiktirafan yang diterima, sebaliknya apa yang dibawa pulang ke institusi masing-masing.

“Nilainya terletak pada apa yang kita bawa pulang ke institusi kita. Bagaimana pengalaman itu memperluas cara kita melihat dunia dan akhirnya bagaimana ia memperkayakan pengalaman pembelajaran anak-anak kita,” katanya.

Fadhlina berkata, bagi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), penyertaan dalam jaringan antarabangsa dapat membantu memperkukuh kompetensi pendidik khususnya dalam pendidikan untuk pembangunan lestari dan kewarganegaraan global.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika berada di Paris apabila bertemu Institut National des Langues et Civilisations Orientales (INALCO), yang antara lain memberi ruang kepada usaha memperkukuh bahasa Melayu di peringkat antarabangsa melalui jaringan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam pada itu, Fadhlina berkata pendidikan perlu terus membangunkan potensi murid secara menyeluruh, termasuk memberi ruang kepada mereka mengembangkan bakat di peringkat global.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Permata Seni selepas kumpulan berkenaan muncul juara dunia dan mengadakan persembahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

“Seluruh KLIA senyap sunyi sebab persembahan anak-anak kita. So, syabas kepada Permata Seni di atas kejayaan membawa pulang sebagai juara dunia,” katanya.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Peperiksaan, semua bahagian dan jabatan di bawah KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan Daerah, pihak sekolah, guru serta ibu bapa yang bersama-sama menjayakan agenda reformasi pendidikan.

Beliau berkata, Oktober juga menjadi tempoh penting buat KPM susulan pembentangan Belanjawan Negara selain menuntut warga kementerian terus melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan.

“Kita melangkah ke Oktober dengan kerja yang masih banyak dan amanah yang masih besar,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh warga KPM berdoa agar diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah serta tugas yang dipikul.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button