Polis siasat krisis Negeri Sembilan dari pelbagai sudut
KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan dari pelbagai sudut berhubung kemelut pentadbiran dan institusi diraja Negeri Sembilan susulan beberapa laporan polis dibuat berkaitan isu berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan turut diberikan kepada langkah pencegahan bagi memastikan tiada kejadian keganasan atau pertembungan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Polis sudah mengambil langkah keselamatan pencegahan bagi memastikan tiada perhimpunan yang boleh membawa kepada pertembungan.
“Mereka melihat dari setiap sudut,” memetik BH online.
Beliau menyerahkan kepada polis untuk melengkapkan siasatan sebelum menentukan sama ada kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan cubaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan EXCO untuk menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai biadab dan tidak bertamadun, Saifuddin berkata, kenyataan itu memperjelaskan bahawa sebarang cubaan menyingkirkan seseorang pemerintah adalah perkara serius dalam sistem Raja Berperlembagaan Malaysia.
Sementara itu, usaha mendapatkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar untuk mengulas peruntukan undang-undang yang digunakan dalam siasatan berkenaan masih belum berhasil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














