POLITIK

PKR Negeri Sembilan gesa kemelut pentadbiran segera diselesaikan

KUALA LUMPUR – Kemelut institusi dan pentadbiran Negeri Sembilan perlu segera diselesaikan bagi mengelakkan urusan rakyat serta kegiatan ekonomi negeri terus terjejas, kata Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan.

PKR Negeri Sembilan berkata, ketidaktentuan dalam pentadbiran berkaitan kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpotensi melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.

Katanya, keadaan itu boleh memberi kesan terhadap urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek, selain menjejaskan keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga serta memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

PKR Negeri Sembilan turut menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan serta pendirian Menteri Besar yang didakwa tidak selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Kesannya tentu dirasai rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan selepas Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan bermesyuarat malam tadi.

Baca juga : Perbincangan Tuanku Muhriz, MB Negeri Sembilan tidak boleh didedahkan – Alzafny

PKR Negeri Sembilan berkata, perkembangan yang berlaku bukan sahaja membabitkan persoalan Perlembagaan dan institusi diraja, malah menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, PKR Negeri Sembilan berkata, pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ahli majlis tidak boleh terus tergantung kerana kedua-dua institusi berkenaan menjadi penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, sekiranya pelantikan dan fungsi institusi itu terus tergantung, penduduk kampung dan komuniti setempat berisiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan.

PKR Negeri Sembilan turut berkata, keadaan semasa menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian yang berpanjangan.

“Walaupun jentera perkhidmatan awam masih mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan tugas, ketidaktentuan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan dan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, PKR Negeri Sembilan berkata, kerajaan negeri perlu memastikan wujudnya kejelasan mengenai kuasa membuat keputusan, tanggungjawab setiap pihak dan kesinambungan pentadbiran.

“Kepentingan rakyat mesti mengatasi sebarang kepentingan politik atau pertimbangan peribadi,” katanya.

PKR Negeri Sembilan turut menyeru semua pemimpin politik agar mengutamakan kebijaksanaan, mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberikan ruang kepada proses Perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Pendirian PKR Negeri Sembilan adalah jelas, akan sentiasa menjunjung kasih dan memberikan sokongan kepada DYMM Tuanku Muhriz serta menghormati kedudukan dan peranan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button