BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kenaikan tarif air kurang sesuai sekarang, bebankan rakyat – Pemuda AMANAH

SEREMBAN – Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan kenaikan tarif air di negeri ini yang disifatkan sebagai tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa rakyat.

Pengarah Komunikasinya, Zainal Lutfi Zainal Fitry berkata, langkah menaikkan tarif air ketika rakyat masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup termasuk kesan kenaikan tarif elektrik hanya akan menambahkan beban berganda kepada isi rumah, khususnya golongan B40 dan M40.

“Ramai rakyat terkesan dengan pelarasan tarif elektrik yang dilaksanakan baru-baru ini. Jika tarif air pula dinaikkan, ia akan menjejaskan kemampuan kewangan isi rumah secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri sepatutnya mempertimbangkan pendekatan alternatif yang lebih bersifat prihatin dan bertanggungjawab, antaranya dengan menggunakan dana rizab negeri untuk menampung kos pembangunan serta penyelenggaraan perkhidmatan air.

“Negeri Sembilan mempunyai dana rizab yang kukuh iaitu sebanyak RM1.02 bilion pada tahun 2023. Dana ini wajar dimanfaatkan terlebih dahulu sebelum membebankan rakyat dengan kenaikan tarif,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga dicadang untuk memperkukuh pelaburan infrastruktur dan menggunakan sumber dalaman sebelum mengambil keputusan yang akan memberi impak langsung kepada pengguna.

Pemuda AMANAH turut menggesa agar satu sesi libat urus secara terbuka diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat dan masyarakat sivil sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kami berharap kerajaan negeri mendengar suara rakyat dan menangguhkan cadangan ini sehingga ekonomi benar-benar stabil,” ujarnya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN mengesahkan penerimaan permohonan semakan kadar tarif bekalan air daripada operator di 10 negeri yang berada di bawah kawal selia agensi itu, namun penelitian rapi masih dibuat.

Selain Negeri Sembilan, negeri terlibat adalah Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Johor dan Pahang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button