Malaysia tuan rumah Gulf Air Bahrain F1 GP
CYBERJAYA – Malaysia diumum secara rasmi menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix pada 2 hingga 4 Oktober ini.
Perkara itu dimaklumkan pihak F1 dalam satu hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Perlumbaan itu akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan dijadual berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura.
Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik dan mengalu-alukan pengumuman rasmi Formula 1 berhubung penganjuran perlumbaan berkenaan.
“KBS menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, atas hubungan akrab dan kepercayaan antara kedua-dua negara.
“KBS menghargai hubungan erat serta kerjasama kukuh antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan penganjuran perlumbaan ini di Malaysia,” katanya dalam kenyataan tersebut.
KBS turut berkata, pihaknya menerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), komited memastikan perlumbaan berlangsung dengan lancar mengikut piawaian tertinggi Formula 1, sekali gus memberikan pengalaman terbaik kepada pasukan, pelumba dan peminat dari seluruh dunia.
“Penganjuran kali ini dijangka akan terus memperkukuh ekosistem dan pembangunan sukan permotoran negara, meningkatkan lagi reputasi Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan antarabangsa serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan sukan.
“KBS akan terus komited menyokong pembangunan sukan permotoran negara, khususnya dalam melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











