POLITIK

Kor Ming bebas berkempen di Negeri Sembilan, tidak dihalau seperti Sanusi

SEREMBAN – Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming bebas meneruskan siri ceramah dan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Kor Ming tidak berdepan sebarang gesaan supaya meninggalkan negeri itu seperti yang berlaku terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Beliau tidak dihalau seperti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor,” katanya pada sidang akhbar PH di sini hari ini.

Sebelum itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan meminta Sanusi memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai Menteri Besar Kedah dan tidak perlu hadir berkempen di Negeri Sembilan sehingga hari pengundian.

Kenyataan itu dibuat susulan ucapan Sanusi dalam satu ceramah di Jempol yang menyentuh mengenai orang Melayu dan Tanah Melayu.

Dalam perkembangan sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat ini belum menerima sebarang aduan berhubung kenyataan berkenaan.

Beliau turut melahirkan kekecewaan apabila kempen pilihan raya masih dicemari sentimen perkauman dan politik sempit yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, politik kebencian serta kenyataan berbaur hasutan tidak membantu dalam mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menurunkan harga barang atau menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.

“PH menyeru semua parti politik supaya menghormati undang-undang pilihan raya dan memastikan kempen berlangsung secara matang, berhemah serta berasaskan fakta.

“Bertandinglah dengan dasar, rekod dan penyelesaian. Jangan bertanding dengan kebencian. Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni. Jangan rosakkan perpaduan yang telah dibina sekian lama semata-mata kerana kepentingan politik,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kehadiran pempengaruh media sosial, Caprice sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan, Fahmi menegaskan individu berkenaan bukan wakil rasmi PH.
“Tiada kaitan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button