PH lancar siaran langsung TikTok 24 jam dekati pengundi muda
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) akan mempergiat usaha mendekati pengundi muda menerusi pendekatan digital dengan menganjurkan siaran langsung selama lebih 24 jam di platform TikTok bermula hari ini.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, program berkenaan akan melibatkan penyertaan semua calon PH yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bersama beberapa pempengaruh media sosial.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan antara kaedah baharu yang digunakan bagi menyantuni golongan muda selain aktiviti kempen secara bersemuka dan ceramah kelompok.
“Ini merupakan cara baharu untuk menyantuni terutama pengundi muda. Selain ceramah kelompok, calon-calon akan singgah sebentar untuk bersama anak muda di platform tersebut,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan budaya politik matang dan berkempen secara sihat dengan memberi tumpuan kepada fakta, prestasi serta tawaran kepada rakyat.
“Serangan peribadi terhadap calon lawan tidak seharusnya menjadi fokus kempen kerana ia tidak membantu pengundi membuat penilaian yang adil,” katanya lagi.
Mengulas dakwaan serangan peribadi yang melibatkan calon tertentu termasuk isu pemakaian jam tangan mewah, beliau berpandangan perkara sedemikian tidak wajar dijadikan bahan kempen politik.
“Biarlah rakyat memilih berdasarkan fakta dan pengalaman, bukan berdasarkan serangan peribadi. Saya minta kita berkempen dengan sihat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















