BERITA SEMASA

Malaysia bakal kuatkuasa dasar baharu lindungi kanak-kanak daripada risiko media sosial

SIPITANG – Malaysia akan mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti bagi memastikan tiada pengguna kanak-kanak di bawah umur 13 tahun menggunakan platform berkenaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.

“Sewaktu saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya telah memberikan mesej kepada mereka bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan platform-platform media sosial melakukan pengesahan identiti terutama untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun.

“Cuma exact timeline saya akan lapor kepada Jemaah Menteri dulu, baru saya akan umumkan,” katanya selepas merasmikan NADI on Wheels atau NOW di Dewan Undangan Negeri Sindumin, di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Fahmi lagi, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengadakan pertemuan dengan syarikat platform media sosial minggu depan yang menjadi langkah penting ke arah merealisasikan segera pelaksanaan perkara tersebut.

Selain isu kanak-kanak, beliau berkata proses pengesahan identiti itu juga penting bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya seperti judi serta iklan palsu.

“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam… semalam, dalam Parlimen saya ada menjawab soalan… ada angka yang menggerunkan… 78 peratus daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan itu adalah daripada Facebook,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button