BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Malaysia umum pencalonan semula ke Majlis ITU bagi Penggal 2027-2030

GENEVA – Malaysia secara rasmi mengumumkan pencalonan semula ke Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030 dalam usaha meneruskan peranan aktifnya dalam pembangunan dasar strategik komunikasi global.

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil semasa menyampaikan ucapan pada sesi pemimpin World Summit on the Information Society+20 High Level Event yang berlangsung di Geneva.

Fahmi (dua dari kanan) bergambar bersama wakil pemimpin negara terlibat dalam acara tersebut.

“Alhamdulillah, bagi pihak Malaysia, saya telah mengumumkan secara rasmi pencalonan negara untuk pemilihan semula ke Majlis ITU bagi penggal 2027-2030,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Fahmi, matlamat Malaysia adalah jelas iaitu untuk terus membantu membina sebuah masyarakat global yang lebih terhubung, berpengetahuan dan inklusif sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

“Kerajaan MADANI juga mengulangi komitmen penuh untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi bagi meningkatkan keterangkuman digital, mengukuhkan daya tahan dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam era berteknologi tinggi,” katanya lagi.

Malaysia kini merupakan ahli Majlis ITU yang dipilih bagi penggal 2023-2026.

Keanggotaan tersebut telah membuka ruang kepada negara untuk menyumbang kepada pembentukan hala tuju dasar strategik ITU selain mewakili kepentingan rantau Asia dalam bidang telekomunikasi dan pembangunan infrastruktur digital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button