BERITA SEMASA

Fahmi minta Khairy henti wujudkan persepsi PH tidak bela Melayu, Islam

JEMPOL – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil meminta bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin supaya tidak mewujudkan persepsi seolah-olah PH tidak mempunyai pemimpin yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Menurutnya, PH mempunyai ramai pemimpin Melayu-Islam yang sentiasa peka dan sensitif terhadap isu melibatkan kedua-dua perkara tersebut.

“Anwar Ibrahim bukan Melayu Islam? Muhammad Sabu bukan Melayu Islam? Dzulkefly Ahmad, Amiruddin Sha’ari dan Aminuddin Harun adakah mereka bukan Melayu Islam?

“Saya rasa hentikanlah bermain dengan naratif yang tidak tepat ini. Pesanan saya kepada saudara Khairy, berpada-padalah. Jangan sampai timbul persepsi buruk seolah-olah tiada pemimpin Melayu-Islam dalam PH,” katanya ketika berucap pada satu program di Felda Palong 2 di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Khairy yang mendakwa sebahagian ahli UMNO berpandangan kerajaan Persekutuan kurang peka terhadap sensitiviti orang Melayu selain gagal menunaikan beberapa janji yang dibuat sebelum ini.

Khairy yang kembali menyertai UMNO turut dilaporkan berkata, keputusan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan merupakan satu isyarat kepada PH.

Fahmi turut berkata, beliau sendiri amat memahami dan peka terhadap isu berkaitan Melayu dan Islam kerana dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai latar belakang perjuangan UMNO.

“Arwah datuk dan nenek saya orang UMNO. Arwah nenek saya merupakan orang kuat UMNO yang memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

“Takkan saya tinggalkan perkara seperti itu. Sebagai seorang Melayu, saya sangat peka dan sensitif terhadap pelbagai perkara berkaitan Melayu dan Islam. Bukan Khairy seorang sahaja yang memahami isu Melayu,” katanya lagi

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button