PRN Negeri Sembilan: Ahmad Shahir tekad rampas semula Paroi, sasar dekati semua pengundi
REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah bertekad merampas semula kerusi itu dengan menawarkan agenda yang dekat dengan keperluan rakyat menerusi kempen yang memberi tumpuan kepada pendekatan turun padang dan mendengar sendiri suara pengundi.
Ahmad Shahir, 41, daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, walaupun pertama kali bertanding dalam pilihan raya, beliau bersedia memikul amanah besar yang diberikan parti untuk mengembalikan DUN Paroi ke pangkuan PH.

“Ya, mendebarkan. Kali pertama memikul beban atau amanah yang berat daripada PH dengan misinya mengambil kembali DUN Paroi ini.
“Misinya berat. Bercampur-campur (perasaan) sebenarnya. Namun dengan sokongan ahli parti, Insya-Allah, kita bergerak selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.
Menurut beliau, fokus utama sepanjang tempoh berkempen ialah mendekati seramai mungkin pengundi di Paroi yang mempunyai kira-kira 65,000 pengundi berdaftar.
“Paroi merupakan antara DUN yang mempunyai jumlah pengundi paling besar. Itu bukan mudah bagi kami.
“Untuk mendapatkan kepercayaan itu, satu benda yang perlu kita tawarkan iaitu tawaran yang mereka lihat relevan pada hari ini.
“Dengan sokongan jentera peringkat Paroi dan mereka bersedia untuk bertemu seramai mungkin. Kita juga akan cuba dapatkan respons apa yang mereka perlukan dan apa yang kita tawarkan,” katanya lagi.
Mengulas saingan tiga penjuru di DUN Paroi, Ahmad Shahir mengakui terkejut apabila mendapati calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Nazree Mohd Yunus merupakan rakan lamanya ketika menuntut di Universiti Malaya.
Menurutnya, mereka mula mengenai ketika mengikuti pengajian di Nilam Puri, Kelantan sebelum menyambung di Universiti Malaya.
“Kami sama bidang pengajian Sains Gunaan dan Pengajian Islam. Cuma beliau pengkhususan dalam Bio Teknologi dan saya dalam bidang Genetik dan Biologi Molekul.
“Kami sama-sama dalam gerakan mahasiswa dahulu. Beliau menang bertanding mewakili Fakulti Akademi Pengajian Islam dan tahun berikutnya saya bertanding sama dan kami pun menang.
“Kami pernah membawa aspirasi yang sama. Hari ini kami berpencak dalam politik negeri atau negara,” ujarnya.
Tambah beliau, pengalaman yang mereka miliki dahulu pasti akan digunakan sebaiknya.
“Seronok juga sebenarnya apabila dapat bersaing dengan rakan yang kita kenal sendiri, cuma berlainan parti,” katanya.
Ahmad Shahir akan berdepan saingan tiga penjuru bagi DUN Paroi melibatkan calon Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zin dan Mohd Nazree Mohd Yunus.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, ia dimenangani Kamarol Ridzuan yang meraih 23,840 undi dengan majoriti 5,539.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















