POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Mobilisasi penyokong penentu masa depan PH

SEREMBAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 bukan sekadar menguji kekuatan parti-parti politik, malah menjadi medan mengukur sejauh mana Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan mandat rakyat tanpa kerjasama pilihan raya bersama Barisan Nasional (BN) seperti yang berlaku pada 2023.

Analisis Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa menunjukkan landskap politik negeri itu kini berubah dengan ketara apabila BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk penjajaran baharu yang mewujudkan pertandingan lebih sengit di hampir semua kerusi.

Namun, di sebalik cabaran tersebut, PH masih mempunyai beberapa kelebihan yang boleh menjadi asas mempertahankan pentadbiran negeri.

dr ayuni
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa.

Antara kekuatan terbesar PH ialah penguasaan di kerusi bandar dan separa bandar seperti Bukit Kepayang, Mambau, Lobak, Seremban Jaya dan Nilai yang dimenangi dengan majoriti besar pada PRN lalu.

Menurut Dr Ayuni, kerusi-kerusi ini hanya akan berisiko sekiranya berlaku penurunan luar biasa dalam kadar keluar mengundi penyokong PH.

“Kerusi-kerusi ini hanya berisiko tumbang sekiranya berlaku kemerosotan luar biasa dalam kadar keluar mengundi penyokong PH,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Analisis beliau juga menunjukkan cabaran utama PH bukan semata-mata berdepan kekuatan BN-PN, sebaliknya memastikan penyokong sendiri tidak mengambil sikap sambil lewa.

Pengalaman PRN Johor memperlihatkan bagaimana kadar keluar mengundi yang rendah di kawasan bandar memberi kesan kepada prestasi PH walaupun sokongan asas masih wujud.

Ini bermakna strategi paling penting bagi PH sepanjang tempoh berkempen ialah memastikan penyokong keluar mengundi dalam jumlah maksimum.

Dalam masa sama, pertandingan tiga penjuru di beberapa kawasan yang melibatkan BERSATU turut berpotensi memberi kelebihan kepada PH kerana boleh memecahkan undi Melayu yang sebelum ini lebih tertumpu kepada blok pembangkang.

Walaupun Dr Ayuni mengakui penjajaran baharu BN-PN memberi kelebihan kepada gabungan itu di beberapa kerusi majoriti Melayu, beliau berpandangan keputusan pilihan raya masih belum muktamad kerana banyak bergantung kepada dinamik kempen dan tahap mobilisasi pengundi.

“Persoalan utama kini bukan lagi sama ada PH mampu mengekalkan dominasi 2023, tetapi sejauh mana ia mampu menahan gelombang penjajaran baharu yang sedang terbentuk,” katanya.

Justeru, PRN Negeri Sembilan kali ini dijangka menjadi antara pilihan raya negeri paling kompetitif dengan setiap undi bakal memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada PH berjaya mempertahankan kerajaan negeri atau berlaku perubahan landskap politik selepas lebih sedekad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button