Pulau Pinang bandar ke-69 paling selamat di dunia
GEORGE TOWN – Pulau Pinang berada di kedudukan ke-69 daripada 402 bandar paling selamat di dunia berdasarkan laporan Numbeo 2026, dengan mencatat Skor Indeks Jenayah 28.9 dan Indeks Keselamatan 71.1.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kedudukan itu memberi gambaran positif terhadap tahap keselamatan semasa di negeri berkenaan, selain mencerminkan keyakinan rakyat untuk menjalani kehidupan dalam suasana aman dan terjamin.
Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat keselamatan daripada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng.
“Hasil taklimat yang diterima, situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Pulau Pinang kekal aman, stabil serta terkawal.
“Tiada sebarang insiden dilaporkan yang boleh menjejaskan kestabilan serta keharmonian negeri.
“Lebih membanggakan, berdasarkan laporan Numbeo 2026, Pulau Pinang berada di kedudukan ke-69 daripada 402 bandar paling selamat di dunia, dengan Skor Indeks Jenayah 28.9 dan Indeks Keselamatan 71.1,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Chow berkata, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam, terutama perkara yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Menurutnya, Pulau Pinang perlu terus berkembang bukan sahaja sebagai negeri yang maju dari segi ekonomi dan pembangunan, tetapi juga sebagai tempat yang aman untuk didiami, selamat untuk keluarga serta harmoni untuk semua.
“Keamanan adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan, pasukan keselamatan dan seluruh masyarakat mempunyai peranan untuk memastikan keharmonian yang kita nikmati hari ini terus dipelihara.
“Pulau Pinang mesti terus menjadi tempat yang diyakini rakyat untuk hidup, bekerja dan membina masa depan,” katanya.
Numbeo merupakan antara pangkalan data kos sara hidup terbesar di dunia dan sumber global bagi maklumat berkaitan kualiti hidup.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








