BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

Rumah Bakat MADANI Pulau Pinang buka peluang miliki kediaman mampu milik

PULAU PINANG – Inisiatif pembangunan Rumah Bakat MADANI di negeri ini memberi harapan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri melalui kerjasama kerajaan dengan sektor swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek perumahan yang dirangka dengan konsep pembangunan menyeluruh itu bukan sahaja menyediakan unit kediaman mampu milik malah turut dilengkapi pelbagai kemudahan asas bagi kesejahteraan komuniti setempat.

“Antara fasiliti yang akan dibangunkan oleh syarikat pemaju SkyWorld Development Berhad. itu termasuk sekolah menegak, taska, surau, ruang niaga, lanskap serta taman rekreasi yang diyakini mampu membentuk kawasan kejiranan yang harmoni dan berdaya huni,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Anwar berkata, pembinaan sekolah menegak yang diintegrasikan dengan kawasan perumahan merupakan pendekatan baharu kerajaan dalam memastikan keselamatan pelajar serta mengurangkan beban kos pengangkutan ibu bapa.

“Langkah ini selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menumpukan usaha ke arah kesejahteraan rakyat, bukan sekadar menampilkan kemegahan reka bentuk semata-mata, tetapi mengutamakan nilai ihsan dan pembentukan komuniti berdaya maju,” kata kenyataan itu.

Anwar Ibrahim mendengar pembentangan konsep pembangunan Rumah Bakat MADANI di Pulau Pinang untuk memberi kemudahan golongan pendapatan rendah memiliki rumah. Foto : PMO

Pada masa sama, kerajaan turut memberi jaminan untuk mempercepatkan proses kelulusan pembangunan dengan pendekatan kerjasama rentas kementerian dan agensi, serta libat urus bersama Kerajaan Negeri.

Projek tersebut adalah antara usaha berterusan kerajaan untuk memastikan aspirasi perumahan rakyat dapat dicapai secara inklusif dan menyeluruh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button