Jadikan masjid sebagai pangkalan aktiviti ibadah dan ilmu
Anwar berkata demikian kepada 18,000 jemaah yang hadir pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra malam ini.
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masjid bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadah tetapi juga dijadikan pangkalan kepada program-program ilmu.
Langkah itu katanya sebahagian daripada contoh konsep negara Madani yang menerapkan nilai ehsan dan rahmah dalam penetapan dasar-dasar negara
“Inilah juga maksud negara Madani, dengan menjadikan masjid sebagai pangkalan program ibadah dan ilmu.
“Dengan menetapkan dasar pendidikan dan ekonomi atas semangat ehsan dan rahmah jugalah kita akan benar-benar dapat mengangkat martabat dan darjat negara,” katanya pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra malam ini.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba pukul 7.15 malam bersama-sama tetamu terhormat program itu dan menunaikan solat fardhu Maghrib bersama hampir 18,000 jemaah.
Antara tokoh ulama yang hadir termasuklah Mantan Mufti Agung Mesir, Prof. Dr. Ali Jum’ah dan Pengasas Darul Musthafa, Tarim, Yaman, Al Habib Umar Hafidz.
Anwar berkata, bagi rakyat negara ini yang bukan Islam, konsep negara Madani yang ditekankan tidak lain tidak bukan adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang menyantuni semua kaum sebagai satu keluarga.
“Semangat dan nilai yang ditekankan dalam ehsan dan rahmah itu akan menjadikan Malaysia ini negara yang berpaut pada Islam namun menyantuni semua sebagai kaum keluarga yang boleh bersama-sama secara aman dan penuh hikmah mengangkat darjat umat dan bangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji keterbukaan para ulama termasukj Dr. Ali Jum’ah semasa Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor, semalam.
“Sikap mereka (ulama) berbeza sekali dengan fahaman kita kerana mereka itu penuh dengan ilmu, asas Quran dan hadis serta pengajaran dari ulama-ulama silam.
“Mereka ini wajar dijadikan ikon kepada umat Islam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








