BERITA SEMASADALAM NEGERI

GBBSEM gesa pembaharuan e-hailing seiring reformasi teksi

KUALA LUMPURGerakan Badan Bertindak Sahabat E-hailing Malaysia (GBBSEM) menyambut baik pelaksanaan Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional yang diumumkan kerajaan namun berharap usaha memperkasa industri pengangkutan awam itu turut merangkumi sektor e-hailing.

Pengerusinya, Zulkifli Othman berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dan sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan agenda transformasi industri pengangkutan darat itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Menurut beliau, lebih 200,000 pemandu teksi dan e-hailing di seluruh negara mengharapkan pembaharuan yang mampu menjamin sistem tambang lebih adil, mampan serta meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

“Kami percaya program ini mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada pemandu, malah kepada rakyat secara keseluruhannya kerana sektor ini merupakan nadi pergerakan masyarakat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Justeru, GBBSEM bersedia berganding bahu dengan Kerajaan MADANI bagi memastikan usaha meningkatkan pendapatan negara dan kebajikan pemandu teksi serta e-hailing dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Tribune.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat sokongan kepada Perdana Menteri sejurus majlis pelancaran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka, kelmarin.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan tambahan peruntukan RM10 juta bagi program berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan dana kerajaan RM20 juta sebagai usaha membantu meringankan beban hidup pemandu teksi.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kerajaan tidak seharusnya meminggirkan kebajikan pemandu e-hailing memandangkan perkhidmatan itu kini bukan lagi sekadar pengangkutan alternatif, malah menjadi sumber pendapatan utama kepada sebahagian besar pengusahanya.

Menurut beliau, lebih 70 peratus pemandu e-hailing kini menjalankan pekerjaan itu secara sepenuh masa.

“E-hailing dan teksi mungkin beroperasi dalam sistem yang berbeza, namun kedua-duanya bergantung kepada tambang sebagai sumber pendapatan.

“Jika struktur tambang teksi dikaji semula, kami berharap kerajaan turut memberi perhatian kepada mekanisme tambang e-hailing supaya ia lebih adil dan tidak dibiarkan tanpa kawalan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik gesaan Perdana Menteri supaya syarikat-syarikat besar lebih prihatin terhadap kebajikan golongan bawahan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada campur tangan kerajaan.

Katanya, GBBSEM yakin Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional bukan sekadar retorik politik, sebaliknya satu langkah serius kerajaan untuk mereformasikan industri pengangkutan awam ke arah yang lebih mampan, berdaya saing dan bermaruah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button