Lawatan PM ke Moscow: Mencorak diplomasi seimbang dan masa depan strategik Malaysia
LANGKAH Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Moscow, Rusia dalam suasana geopolitik yang semakin mencabar dan tidak menentu sebenarnya membawa mesej penting kepada dunia.
Ia menunjukkan Malaysia bukan sekadar pemerhati tetapi pemain aktif dalam mencorak hala tuju serantau dan global.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, lawatan PM ke Rusia bukanlah perkara yang asing kepada Malaysia sebaliknya ia adalah lanjutan daripada tradisi hubungan baik yang dirintis sejak tahun 1967 sehingga kini.

“Tindakan Malaysia memperkukuhkan hubungan dengan Rusia dan China yang baru sahaja melawat negara baru-baru ini adalah tindakan yang tepat memandangkan kedua-duanya merupakan kuasa besar dan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Hubungan yang erat ini secara langsung meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik dalam percaturan kuasa global, selaras dengan amalan Balance of Power yang menjadi prinsip asas dasar luar Malaysia sejak sekian lama.
“Sejarah juga membuktikan pendekatan ini telah memberikan impak positif kepada negara. Contohnya, pada pertengahan 1990-an, Malaysia mengambil langkah berani untuk tidak terlalu bergantung kepada kelengkapan pertahanan dari Barat dengan membuat pembelian jet pejuang MiG-29 daripada Rusia.
“Langkah ini membuka jalan kepada hubungan pertahanan yang lebih erat dengan Rusia dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali yang dihormati,” jelas Dr. Mohamad Faisol ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Teroka peluang sektor teknologi dan tenaga
Dalam era globalisasi hari ini, hubungan Malaysia–Rusia tidak hanya terbatas kepada aspek diplomasi dan pertahanan semata-mata.
Ia turut membuka ruang luas dalam sektor teknologi dan tenaga.
Menurut Dr. Mohamad Faisol, Malaysia perlu mengambil peluang daripada hubungan tersebut untuk mendapatkan alternatif bekalan tenaga seperti loji janakuasa nuklear yang lebih murah daripada Rusia atau China.

“Negara-negara maju seperti Jepun yang pernah musnah akibat serangan nuklear pada tahun 1945, kini menjadi antara pengguna tenaga nuklear utama dunia di belakang Amerika Syarikat, Perancis, China dan Rusia.
“Malah, Taiwan yang merupakan negara kecil, kini telah memiliki reaktor tenaga nuclear sendiri. Justeru, Malaysia juga harus berani mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu pilihan strategik bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber konvensional seperti diesel,” ujarnya.
Namun begitu, dari sudut keselamatan makanan, beliau menjelaskan isu yang wujud bukanlah kekurangan sumber makanan, tetapi kelemahan dalam pengurusan sumber tersebut.
“Malaysia dan negara-negara lain di rantau Khatulistiwa, termasuk beberapa negara Afrika seperti Mesir, Ghana, Rwanda dan Sudan, sebenarnya memiliki keupayaan untuk menanam padi dan menghasilkan makanan.
“Malangnya, ketirisan rantaian bekalan seperti kehilangan stok beras, gula dan minyak masak di pasaran tempatan bukan berpunca daripada kekurangan pengeluaran, tetapi kerana manipulasi oleh pihak tertentu,” tegasnya.
Dalam konteks ini, beliau mengaitkan pengurusan makanan dengan kisah dalam Surah Yusuf ayat 46 hingga 48 yang menekankan kepentingan perancangan dan simpanan makanan pada waktu mencabar.
“Oleh itu, Malaysia perlu memperbetulkan persepsi tentang keselamatan makanan (food security) agar tidak terperangkap dalam naratif kekurangan sumber yang sebenarnya tidak tepat,” katanya lagi.
Hubungan Malaysia dan blok Timur
Mengulas lanjut, Dr. Mohamad Faisol berkata, kebijaksanaan Malaysia menyusun langkah dalam hubungan antarabangsa menjadi lebih penting ketika pasca-pandemik dan dalam era ketidaktentuan geopolitik semasa.

“Langkah mengukuhkan hubungan dengan blok negara seperti Rusia, China dan Perancis amat penting kerana sebelum ini, ia tidak begitu diberi perhatian oleh Malaysia khususnya semasa era Perang Dingin (1945–1991).
“Kini, dengan perubahan landskap global dan kebangkitan kuasa-kuasa baharu, Malaysia wajar bersikap lebih terbuka dan proaktif.
“Peralihan kuasa dan sumber di peringkat antarabangsa menuntut Malaysia untuk mengurangkan pergantungan kepada Amerika Syarikat dan Britain serta meneroka peluang baharu yang lebih seimbang,” jelas beliau.
Dasar berkecuali jadi pilihan
Menurut Dr. Mohamad Faisol, salah satu kekuatan Malaysia dalam politik antarabangsa ialah dasar berkecuali yang konsisten sejak merdeka.
“Malaysia tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar, tetapi tetap menjalin hubungan baik dengan semua pihak. Hasil pendekatan ini, Malaysia telah dilantik sebanyak empat kali sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB.
“Ini satu pencapaian yang bukan calang-calang dan hanya boleh dicapai oleh negara yang diyakini dan dipercayai oleh masyarakat antarabangsa.
“Justeru, lawatan PM ke Moscow bukan tanda tunduk kepada kuasa besar, tetapi isyarat tegas bahawa Malaysia bersedia bergerak seiring, memperkukuh kerjasama dan memperjuangkan kepentingan nasional di pentas dunia,” ungkapnya.
Kesimpulannya, lawatan itu juga bukan sekadar simbol diplomatik, tetapi manifestasi dasar luar negara yang matang, berkecuali dan berpandangan jauh selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara yang bebas bersuara, berprinsip dan berkepentingan strategik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








