BERITA SEMASA

Lelaki hilang ketika live paranormal TikTok ditemui lemah dalam tandas

MELAKA – Seorang lelaki yang ditemui lemah di tandas Taman Botanikal Ayer Keroh selepas dilaporkan hilang selama dua hari, dikesan sempat membuat siaran langsung aktiviti paranormal di TikTok sebelum kejadian berlaku.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, seorang kenalan mangsa berusia 34 tahun menyedari kehilangannya selepas siaran langsung aktiviti paranormal di akaun TikTok ‘BOSS OJANG’ terputus secara tiba-tiba pada pukul 9 malam, 19 Jun lalu.

Menurutnya, individu yang juga merupakan pengadu kes kemudiannya bergegas ke Ayer Keroh Country Club Resort (AKCC) untuk menjejaki mangsa, namun usaha pencarian di lokasi tersebut tidak membuahkan hasil

“Pengadu turut cuba menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp, namun gagal mendapat sebarang respon.

“Dia kemudian membuat laporan polis pada pukul 3.29 pagi tadi bagi mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa bagi mengesan keberadaan lelaki itu,”katanya kepada pemberita, semalam.

Katanya, polis segera menjalankan gerakan mencari mangsa di lokasi terakhir yang dikenal pasti sejurus menerima laporan kehilangan.

“Polis kemudian mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membantu operasi pencarian di beberapa lokasi sekitar Ayer Keroh.

“Operasi melibatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh bersama SWCorp,” ujarnya.

Jelasnya, ketika operasi sedang dijalankan, mangsa akhirnya ditemukan orang awam di dalam sebuah tandas awam berhampiran kawasan Skytrex, Taman Botanikal dalam keadaan lemah.

Katanya, mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, pasukan JBPM hanya menerima maklumat mengenai kehilangan tersebut pada pukul 12.18 tengah hari semalam, sebelum segera menggerakkan operasi mencari dan menyelamat

Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, perkara seumpama ini seharusnya dielakkan kerana kelewatan melaporkan kehilangan kepada pihak berkuasa boleh merumitkan serta melambatkan operasi pencarian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button