BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua kanak-kanak perempuan lima tahun hilang di Santubong ditemukan selamat

KUCHING – Dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Pasir Pandak, Santubong, di sini sejak pagi semalam telah ditemukan semula.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri sebentar tadi.

“Alhamdulilah, dua kanak-kanak perempuan yang hilang di Kampung Pasir Pandak sejak semalam telah selamat dijumpai sebentar tadi.

“Kamek (saya) turut dapat bersama dengan mereka. Kamek nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu sejak semalam terutamanya pihak anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), BOMBA dan penduduk kampung Pasir Pandak,” tulisnya dalam hantaran di Facebook beliau.

Nancy Shukri (kiri) hadir di lokasi kejadian dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang hilang di Kampung Pasir Pandar, Santubong dekat Kuching sejak pagi semalam. Foto : FB Nancy Shukri

Sebelum ini media melaporkan kehilangan mangsa selepas pergi bermain bersama sepupu di rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kehilangan itu disedari ahli keluarga selepas kedua-duanya tidak pulang ke rumah dan tidak dapat dikesan.

“Bapa salah seorang mangsa menyedari kehilangan itu kira-kira pukul 11 pagi apabila mendapati kedua-duanya tidak lagi berada di lokasi mereka bermain,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan itu, penduduk kampung dan ahli keluarga segera melancarkan pencarian di sekitar kawasan sebaik menyedari kehilangan kedua-dua kanak-kanak tersebut.

Namun pencarian awal tidak menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaan mereka.

“Pada pukul 6 petang, laporan polis dibuat selepas usaha mencari selama beberapa jam tidak membuahkan hasil,” menurut kenyataan itu.

JBPM menerima maklumat daripada polis pada pukul 8 malam sebelum mengarahkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.

Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan di kawasan kampung berhampiran pantai itu dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk setempat.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button