Yasin Sulaiman mohon maaf, tarik balik kenyataan mengenai pengalaman di penjara
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman menarik balik beberapa kenyataan mengenai pengalamannya ketika berada di penjara yang dikongsikan menerusi podcast dan temu bual baru-baru ini.
Dalam kenyataan media hari ini, Yasin berkata perkongsian berkenaan dibuat berdasarkan apa yang dialami dan difahaminya ketika melalui tempoh tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan keadaan dirinya ketika itu mungkin mempengaruhi cara beliau melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara yang berlaku di sekelilingnya.
“Pada waktu tersebut, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, saya sedang mengalami episod bipolar mania.
“Keadaan saya ketika itu mungkin telah mempengaruhi cara saya melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara-perkara yang berlaku di sekeliling saya,” katanya.
Yasin berkata, selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara Malaysia serta menilai semula keadaan yang dilaluinya ketika itu, beliau memutuskan untuk menarik balik kenyataan berkenaan.
Beliau turut memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia serta para pegawai dan anggotanya sekiranya perkongsian tersebut menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kenyataan itu tidak pernah dibuat dengan niat untuk mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia atau memperkecilkan tugas pegawai dan anggota yang berkhidmat di institusi berkenaan.
“Saya menghargai tugas dan khidmat para pegawai serta anggota Jabatan Penjara Malaysia yang menjalankan amanah dalam menjaga keselamatan, kebajikan dan proses pemulihan penghuni,” katanya.
Yasin berharap penjelasan berkenaan dapat memperbetulkan segala kekeliruan yang timbul susulan perkongsiannya sebelum ini dan membolehkan perkara itu diselesaikan dengan baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








