BERITA SEMASALUAR NEGARA

Kucing ‘ejen dadah’ dicekup ketika cuba lepasi pagar penjara

SAN JOSE – Cubaan licik menyeludup dadah ke dalam penjara menggunakan seekor kucing sebagai ‘ejen penyeludupan’ tumpas apabila haiwan itu ditangkap pihak berkuasa sebelum sempat menyerahkan bungkusan dadah kepada banduan.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kehakiman Costa Rica, insiden itu berlaku di sebuah penjara wilayah Pococí.

“Seekor kucing hitam putih dikesan cuba melompat pagar penjara sambil membawa dua bungkusan yang dilekatkan pada badannya.

“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi lebih 230 gram ganja dan 67 gram kokain,” katanya menurut kenyataan.

Rakaman video memaparkan detik seorang pengawal penjara memanjat pagar untuk menangkap haiwan berkenaan.

Dalam video lain, kucing tersebut dilihat berada di atas meja dalam kawasan penjara manakala seorang pengawal membuka bungkusan dadah yang dibawanya.

“Terima kasih kepada tindakan pantas pihak pengawal, kucing berkenaan berjaya ditahan dan bungkusan dadah berjaya dirampas sebelum sempat diserahkan kepada banduan,” kata kenyataan itu lagi.

Kucing kini diserahkan kepada sebuah pertubuhan kebajikan haiwan tempatan untuk penjagaan dan pemantauan lanjut.

Pihak berkuasa sedang menyiasat dalang di sebalik cubaan penyeludupan yang tidak konvensional ini dan memberi jaminan kawalan keselamatan akan terus diperketatkan bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button