JENAYAH & MAHKAMAH

Isa Samad didapati bersalah kes rasuah RM3.09 juta, dihukum penjara enam tahun

PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad disabitkan bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, dan diperintah menjalani hukuman penjara selama enam tahun.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Datuk Nordin Hassan bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Mahkamah turut mengembalikan semula sabitan bersalah serta hukuman penjara dan denda RM15.45 juta yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berusia 77 tahun itu.

Keputusan berkenaan dibuat selepas panel hakim mengetepikan penghakiman Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan Mohd Isa daripada semua pertuduhan.

Difahamkan, Mohd Isa akan dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara berkuat kuasa serta-merta.

Untuk rekod, pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap Mohd Isa selepas beliau didapati bersalah atas semua pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa selama enam tahun.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) ketika itu memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Namun pada 6 Mac 2024, Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Mohd Isa selepas panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Susulan keputusan tersebut, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada 7 Mac 2024 dan mengemukakan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun sama dengan 24 alasan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa suapan itu merupakan ganjaran atas peranan Mohd Isa memudahkan kelulusan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) untuk membeli hotel berkenaan pada harga RM160 juta.

Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel, sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh FICSB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button