BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Peguam nafi simpan bukti penting, anggap tindakan SPRM sebagai gangguan

KUALA LUMPUR – Peguam Mahajoth Singh menegaskan beliau tidak pernah menyimpan sebarang ‘bukti penting’ seperti didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan melibatkan ahli perniagaan Albert Tei atau Tei Jiann Cheing.

Dalam kenyataan tegas yang dikeluarkan hari ini, Mahajoth menyifatkan dakwaan SPRM sebagai tidak berasas dan keterlaluan, selain boleh mengelirukan masyarakat tentang kedudukan beliau sebagai peguam bela.

Menurutnya, semua dokumen yang diminta SPRM adalah dilindungi keistimewaan komunikasi antara peguam dan anak guam, manakala dakwaan bahawa beliau memegang telefon bimbit milik Albert Tei turut dinafikan.

Mahajoth berkata, insiden berlaku sekitar pukul 5.15 petang semalam apabila empat pegawai SPRM tiba di pejabatnya tanpa notis dan memaklumkan bahawa beliau ‘melanggar’ satu notis terdahulu.

“Saya jelaskan arahan itu tidak sah dan bercanggah dengan tanggungjawab profesional saya. Namun mereka tetap berkeras.

“Tingkah laku itu menggentarkan, tidak perlu dan bercanggah dengan piawaian siasatan sah. Ia tidak ubah seperti gangguan,” katanya.

Menurut beliau, rakan-rakan peguam iaitu Latheefa Koya, N. Surendran dan Rajesh Nagarajan — tiba segera ketika beliau menerangkan kedudukan undang-undang kepada pegawai terbabit.

Selepas perbincangan tegang itu, pegawai SPRM kemudian menyerahkan dua notis baharu, sekali gus menunjukkan percubaan awal untuk memaksanya hadir tidak mempunyai asas undang-undang.

Notis baharu yang dikeluarkan di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 menuntut kehadiran beliau sebagai saksi, manakala notis kedua di bawah Seksyen 30(1)(b) meminta dokumen dan sebuah telefon bimbit.

Mahajoth memaklumkan akan hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pukul 10 pagi ini, namun dengan bantahan keras.

“Saya tetap terikat dengan keistimewaan komunikasi peguam–anak guam. Perkara ini telah dinyatakan dalam surat bertarikh 30 November. Ia prinsip undang-undang asas Malaysia dan Komanwel.

“Saya tidak boleh dan tidak akan melanggar keistimewaan itu. SPRM sepatutnya memahami perlindungan undang-undang ini. Saya tidak akan diugut atau dipaksa untuk mengkhianati tanggungjawab saya kepada anak guam,” katanya.

Semalam, SPRM mendakwa Mahajoth menyimpan bahan bukti penting berkaitan siasatan, selain menegaskan bahawa keistimewaan peguam–anak guam tidak mengecualikan seseorang peguam daripada hadir memberi keterangan atau menyerahkan bahan yang tidak berkaitan dengan nasihat undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button