Anwar gesa penjawat awam main peranan lebih tegas perangi rasuah
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua penjawat awam supaya memainkan peranan lebih tegas dalam membanteras rasuah yang masih wujud dalam sektor itu dan tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada badan penguat kuasa.
Menurut beliau, usaha memerangi rasuah perlu menjadi tanggungjawab bersama setiap ketua jabatan dan pegawai kerajaan bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.
“Sebab itu saya bebankan tanggungjawab kepada ketua-ketua jabatan. Kalau ketua jabatan tahu dan menjadi pelindung, kita tidak boleh pertahankan ketua jabatan itu.
Pertanggungjawaban mesti ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Anwar turut memberi jaminan terhadap badan penguat kuasa yang diberikan kebebasan penuh untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu termasuk golongan kenamaan yang terbabit dengan rasuah.
“Saya sudah jelaskan, jika ada bukti dan tiada unsur penganiayaan, ambil tindakan tegas, keras dan segera. Saya akan pertaruhkan segalanya untuk mempertahankan mereka dalam menjalankan tugas menyelamatkan negara ini,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pegawai penguat kuasa yang berani bertindak menegakkan keadilan serta membersihkan negara daripada rasuah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















