HIBURAN

Roger Waters gelar James Hetfield ‘nobody’ dengan IQ paras 3

LAS VEGAS – Roger Waters, pengasas bersama kumpulan rock Pink Floyd, melancarkan kritikan keras terhadap vokalis Metallica, James Hetfield, dengan menggelarnya sebagai individu tidak penting atau ‘nobody’ serta mendakwa tahap IQ penyanyi itu hanya pada tahap tiga.

Waters meluahkan kenyataan pedas itu ketika muncul dalam program The Katie Halper Show minggu ini, susulan komen Hetfield bahawa Metallica tidak menggunakan konsert sebagai platform untuk mempengaruhi peminat dengan agenda tertentu, baru-baru ini.

“Saya bosan dengannya. Dia hanya menunjukkan bahawa dia seorang yang tidak berguna. IQ-nya sekitar tiga dan saya benar-benar tidak tahu mengapa kita bercakap mengenainya kerana dia bukan sesiapa dan akan kekal begitu,” katanya memetik laporan Planet Rock.

Waters turut mempersoalkan kemampuan muzik Hetfield selepas mendakwa pernah mendengar persembahan akustik Metallica yang disifatkannya sebagai mengecewakan.

Meskipun mengakui Hetfield mungkin memiliki kekayaan ratusan juta dolar, namun katanya kekayaan itu tidak menjadikannya seorang pemuzik yang baik.

Kontroversi itu tercetus selepas Hetfield, ketika membuat persembahan di Sphere, Las Vegas, pada 10 Oktober lalu, berkata Metallica hadir untuk membolehkan peminat melupakan seketika masalah di luar, sambil menegaskan bahawa agenda kumpulan itu adalah kasih sayang, tenaga dan muzik heavy metal.

Waters kemudian menyelar pendirian Hetfield dengan menegaskan kepentingan nilai kebaikan dan empati terhadap sesama manusia.

Menurutnya, sikap mengambil berat terhadap orang lain jauh lebih penting daripada muzik yang lantang dan persembahan bertenaga.

Waters yang merupakan ahli kumpulan Pink Floyd sejak ditubuhkan pada 1965 kerap menggunakan pentas dan wawancara untuk menyuarakan pandangan politik serta isu kemanusiaan, termasuk isu Palestin.

Pendirian beliau turut mencetuskan kontroversi dan kritikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button