Jurugambar Washington Post parah diserang penceroboh tanah Israel
RAMALLAH – Jurugambar akhbar Amerika Syarikat, The Washington Post, Heidi Levine, cedera parah selepas dipercayai dipukul peneroka Israel ketika membuat liputan aktiviti penuaian buah zaitun di Tebing Barat yang diduduki, pada Jumaat.
Levine, 64, mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk, retak tulang belakang dan kecederaan pada tangan kiri sehingga menyebabkan jarinya hampir putus.
Anak perempuannya, Ashley Milner, memberitahu The Associated Press bahawa Levine menjalani pembedahan pada Sabtu di Ramallah bagi merawat kecederaan pada jarinya.
Insiden itu berlaku di perkampungan Abu Falah, apabila sekumpulan penjarah Israel yang memakai topeng muka menyerang penduduk Palestin yang sedang menuai buah zaitun.
Menurut laporan, kumpulan itu turut membaling batu, menggunakan lastik dan membakar pokok zaitun ketika menyerang penduduk serta sekumpulan wartawan yang membuat liputan.

Levine berkata, beliau ditolak sehingga terjatuh sebelum ditendang berulang kali selama kira-kira 10 minit.
Beliau turut mendakwa penyerang merampas barangan peribadinya, termasuk telefon bimbit, pasport dan peralatan fotografi.
Beliau kemudian diselamatkan oleh penduduk Palestin yang berada di lokasi sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dalam kenyataan, The Washington Post mengesahkan Levine memakai tanda ‘PRESS’ iaitu pengenalan yang menunjukkan beliau seorang wartawan ketika kejadian.
Akhbar itu mengecam serangan berkenaan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Polis Israel dilaporkan membuka siasatan berhubung kejadian itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






