BERITA SEMASALUAR NEGARA

Legenda fotografi dunia, Sebastião Salgado, meninggal dunia

BRAZIL – Dunia fotografi kehilangan seorang tokoh besar apabila Sebastião Salgado, jurugambar tersohor yang dikenali dengan karya hitam putih yang sarat dengan emosi, disahkan meninggal dunia pada usia 81 tahun.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Instituto Terra, organisasi pemulihan ekologi yang diasaskan oleh Salgado dan isterinya, Lélia Wanick, kematian beliau akibat komplikasi leukemia yang berpunca daripada jangkitan malaria yang dialaminya ketika menjalankan tugasan di Indonesia pada tahun 2010.

Salgado menjelajah lebih 130 buah negara, merakamkan pelbagai dimensi kehidupan manusia serta perubahan landskap alam sekitar dengan pendekatan visual yang cukup tersendiri.

Karya beliau sering kali menyentuh isu ketidakadilan sosial, penderitaan masyarakat terpinggir dan kesan buruk pembangunan terhadap persekitaran semula jadi.

Dilahirkan di Minas Gerais, Brazil, Salgado pada awalnya berkelulusan dalam bidang ekonomi. Namun, tekanan politik semasa pemerintahan tentera mendorong beliau dan isterinya berhijrah ke Paris, di mana minatnya terhadap fotografi bermula.

Beliau memulakan kerjaya profesional pada awal 1970-an dan segera meraih pengiktirafan antarabangsa.

Gaya fotografi Salgado yang dramatik hasil daripada teknik pencahayaan ekspresif dan komposisi hitam putih yang penuh kontras menjadikan setiap imejnya bukan sekadar rakaman visual, malah satu naratif kemanusiaan yang mendalam.

Pendekatan beliau turut menerima kritikan, apabila sesetengah pihak menuduhnya mempamerkan penderitaan manusia secara estetika.

Antara karya yang paling diingati ialah rakaman para pelombong emas di Serra Pelada, Amazon, pada tahun 1986 satu visual yang kini dianggap sebagai simbol ketamakan dan penderitaan buruh dalam industri perlombongan haram.

Salgado dikenang bukan sahaja sebagai jurugambar, tetapi sebagai aktivis alam sekitar.

Pada tahun 1998, beliau dan isterinya menubuhkan Instituto Terra yang telah memulihkan lebih 2,000 hektar hutan dan menghasilkan hampir tujuh juta anak benih pokok.

“Saya tahu saya tidak akan hidup lama lagi. Tetapi saya tidak mahu hidup terlalu lama. Saya telah hidup begitu banyak dan menyaksikan begitu banyak perkara.” kata Salgado dalam wawancara bersama The Guardian pada tahun lalu.

Pameran besar terakhirnya, Amazônia (2021), memaparkan lebih 200 keping gambar landskap hutan hujan Amazon dan masyarakat pribumi yang terancam akibat aktiviti pembalakan dan perubahan iklim.

Pameran itu masih aktif menjelajah dunia dan kini sedang berlangsung di Brussels.

Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, turut menzahirkan penghormatan dengan menyifatkan Salgado sebagai suara nurani umat manusia.

“Salgado tidak hanya menggunakan mata dan kameranya untuk merakam manusia, tetapi turut menggunakan seluruh jiwanya untuk memberi makna kepada penderitaan dan harapan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sebelum pemergiannya, ahli Akademi Seni Halus Perancis itu sedang menyusun arkib fotografi peribadi yang mengandungi lebih 500,000 imej untuk tujuan dokumentasi dan penerbitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button