Lelaki meninggal dunia sebelum sempat jadi saksi akad nikah
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang sepatutnya menjadi saksi pernikahan dilaporkan meninggal dunia sebelum sempat majlis akad nikah itu berlangsung di sebuah masjid.
Kisah duka itu dikongsikan oleh jurugambar pada majlis berkenaan menerusi hantaran di Threads semalam.
Menurut jurugambar tersebut, momen itu merupakan antara detik paling menyedihkan baginya sepanjang menjalankan tugas dalam merakam gambar bagi sesebuah majlis perkahwinan.
“Selama jadi photographer (jurugambar), hari ini hari yang paling sedih. Seorang saksi kepada pengantin lelaki meninggal sebelum sempat nak sahkan akad pengantin tersebut,” tulisnya.
Dia memberitahu, suasana yang pada awalnya dipenuhi kegembiraan dan debaran menantikan detik akad nikah bertukar sekelip mata menjadi hiba selepas kejadian tersebut.
“Momen yang mulanya gembira, sekelip mata bertukar jadi hiba dan sedih.
“Semoga pak cik pengantin ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, Insya-Allah,” katanya.
Sementara itu seorang pengguna Threads, @iraa_ramli yang mendakwa berada di lokasi kejadian berkata arwah merupakan bapa saudara kepada pengantin lelaki yang ditugaskan menjadi salah seorang saksi pernikahan tersebut.
“Saya ada masa majlis, pak cik tu bapa saudara pengantin lelaki. Asalnya jadi saksi untuk nikah tu, tapi tak sempat,” katanya.
Wanita itu turut menjelaskan bahawa akad nikah pasangan tersebut tetap diteruskan selepas urusan berkaitan pengesahan kematian lelaki berkenaan selesai.
Perkongsian tersebut mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar urusan majlis dan keluarga pengantin dipermudahkan.
“Insafnya baca. Sungguh lah hidup kita ini dekat sangat dengan kematian. Al-Fatihah buat pak cik pengantin,” kata @kakak_munge.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








