Supermac’s menang pertikaian cap dagangan McDonald’s di UK
LONDON – Rangkaian makanan segera Ireland, Supermac’s, mencatat kemenangan dalam pertikaian cap dagangan dengan gergasi makanan segera Amerika Syarikat (AS), McDonald’s selepas pihak berkuasa United Kingdom (UK) membenarkan syarikat itu mendaftarkan nama dan logonya di negara berkenaan.
Pejabat Harta Intelek UK (UKIPO) memutuskan pengguna biasa tidak akan mengaitkan nama atau logo Supermac’s yang berpangkalan di Galway dengan cap dagangan sedia ada milik McDonald’s termasuk Big Mac dan McCafe.
Keputusan itu mengakhiri sebahagian daripada pertikaian undang-undang yang berlarutan antara kedua-dua rangkaian makanan segera berhubung penggunaan istilah berkaitan ‘Mac’ dalam penjenamaan mereka.
Menurut UKIPO, terdapat perbezaan ketara dari segi visual, sebutan dan konsep antara tanda dagangan Supermac’s dan McDonald’s sekali gus mengurangkan kemungkinan pengguna keliru dengan kedua-dua jenama berkenaan.

Pihak berkuasa itu turut berpandangan pengguna tidak akan mengaitkan unsur ‘Mc’ atau ‘Mac’ yang terdapat dalam penjenamaan kedua-dua syarikat.
Pengasas Supermac’s, Pat McDonagh berkata, keputusan berkenaan membuktikan setiap perniagaan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang tanpa mengira saiz atau sumber kewangan.
“Kami tidak pernah mempunyai skala atau sumber seperti mereka, tetapi kami sentiasa percaya setiap perniagaan berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang tanpa mengira saiznya,” katanya memetik laporan BBC News.
Supermac’s diasaskan oleh McDonagh di Galway pada 1978 dan kini menjadi rangkaian restoran makanan segera milik Ireland terbesar di Republik Ireland.
Pertikaian antara kedua-dua syarikat itu bagaimanapun masih berterusan di Kesatuan Eropah (EU).
Beberapa minggu sebelum keputusan UK itu, Lembaga Rayuan Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah (EUIPO) mengekalkan keputusan yang menghalang Supermac’s daripada mendaftarkan namanya sebagai cap dagangan di EU.
Pada Jun lalu, EUIPO memutuskan logo dan papan tanda Supermac’s mempunyai persamaan terlalu ketara dengan cap dagangan Big Mac milik McDonald’s.
EUIPO turut mendapati terdapat kemungkinan pengguna berbahasa Inggeris dan Jerman keliru antara Supermac’s dengan cap dagangan Big Mac.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak menjejaskan operasi Supermac’s di Ireland.
Supermac’s sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat tahun lalu selepas EUIPO mendapati pendaftaran namanya sebagai cap dagangan di EU boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
Syarikat itu mula memohon pendaftaran cap dagangan di EU pada Mei 2016, namun permohonan berkenaan dibantah McDonald’s yang mendakwa Big Mac telah didaftarkan sebagai cap dagangan bagi sandwic berasaskan daging sejak Disember 1998.
Dalam perkembangan berkaitan pada 2024, Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (CJEU) memutuskan McDonald’s tidak lagi mempunyai hak eksklusif menggunakan label ‘Big Mac’ bagi merujuk kepada burger ayam yang dijual di EU susulan cabaran undang-undang dikemukakan Supermac’s.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





