BERITA SEMASA

Hajah Asmah jemaah haji dirawat di Mekah meninggal dunia

PUTRAJAYA – Jemaah haji wanita, Hajah Asmah Mansor, 72, yang menjalani rawatan panjang di Mekah sebelum ini disahkan meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang, Selangor, petang semalam.

Pemergian Allahyarhamah yang juga jemaah haji musim 2025/1446H itu dimaklumkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir selepas segala ikhtiar perubatan terbaik diberikan oleh pasukan perubatan yang bertugas dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.

Naim Hajah Asmah
Mohd Na’im ketika melawat Asmah di Hospital Saudi German di Mekah pada 10 November lalu. – Foto Facebook Mohd Na’im Mokhtar

“Walaupun diuji dengan kesakitan yang berat, perjalanan terakhir Hajah Asmah pulang ke tanah air berlangsung dengan solidariti seluruh rakyat Malaysia.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan semoga mereka dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesabaran atas kehilangan yang amat besar ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Allahyarhamah disahkan menghidap pneumonia dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Saudi German di Mekah selama kira-kira tiga bulan.

BACA: https://malaysiatribune.news/agama/rm280000-terkumpul-dalam-empat-hari-usaha-bawa-pulang-jemaah-haji-malaysia-dipertingkat/

BACA: https://malaysiatribune.news/agama/jemaah-haji-malaysia-yang-lama-terlantar-di-icu-mekah-bakal-dibawa-pulang/

BACA: https://malaysiatribune.news/berita-semasa/kutipan-tabung-musaadah-capai-sasaran-hajah-asmah-akan-dibawa-pulang/

BACA: https://malaysiatribune.news/agama/hajah-asmah-dijangka-tiba-di-tanah-air-malam-ini/

Bagi membawa pulang Allahyarhamah ke tanah air, kos kira-kira RM500,000 diperlukan termasuk penggunaan alat ventilator secara berterusan sepanjang penerbangan ke Malaysia.

Allahyarhamah selamat tiba di Malaysia pada 25 November lalu sebelum ditempatkan di Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Ketika masih menjawat jawatan menteri, Mohd Na’im turut melancarkan bantuan sumbangan khas menerusi Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia bagi membantu misi membawa pulang Allahyarhamah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama menjayakan usaha tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button