BERITA SEMASA

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin meninggal dunia pada usia 90 tahun

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin meninggal dunia pada usia 90 tahun di kediamannya, awal pagi tadi.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan anak perempuannya, Zuliana, menerusi satu kenyataan yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1 pagi.

“Dengan penuh dukacita, saya Zuliana ingin memaklumkan pemergian ayahanda tercinta kami, Mohd Eusoff Chin pada hari ini, Jumaat, 7 Ogos 2026, bersamaan 24 Safar 1448H, jam 1 pagi,” katanya.

Menurut beliau, jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke kediaman keluarga, manakala urusan pengurusan jenazah akan dilaksanakan pagi ini di Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai pengebumian akan dimaklumkan oleh ahli keluarga dalam masa terdekat.

Zuliana turut memohon orang ramai mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Allahyarham Mohd Eusoff yang berasal dari Batu Gajah, Perak berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara dari 25 September 1994 hingga 19 Disember 2000.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru pada 1955 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di London.

Allahyarham memperoleh kelayakan sebagai peguam daripada Lincoln’s Inn pada 1963 sebelum menyertai Perkhidmatan Undang-Undang dan Kehakiman.

Sepanjang kerjayanya, Allahyarham pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya, Penolong Pendaftar, Penasihat Undang-undang, Penggubal Undang-undang, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya serta Presiden Mahkamah Rayuan sebelum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button