BERITA SEMASAHIBURANLUAR NEGARA

Pelakon Dances With Wolves meninggal dunia

TORONTO – Pelakon Graham Greene yang dianggap sebagai perintis yang membuka jalan kepada pelakon orang asal di Hollywood, meninggal dunia pada usia 73 tahun, semalam.

Mendiang yang terkenal dengan lakonannya dalam filem Dances With Wolves, meninggal dunia di sebuah hospital akibat sakit.

“Mendiang seorang lelaki yang berpegang teguh pada moral, etika dan berwatak mulia, dan akan sentiasa dirindui,” kata ejennya dalam satu kenyataan kepada portal Deadline.

Dilahirkan pada 22 Jun 1952 di Ohsweken, di Six Nations Reserve, Greene pernah melakukan pelbagai pekerjaan sebelum menceburi bidang lakonan. Beliau bermula di pentas teater pada 1970-an dan membuat kemunculan di skrin pada 1979 menerusi The Great Detective.

Filem pertamanya ialah Running Brave pada 1983.

Nama Greene mula melonjak naik apabila Kevin Costner memilihnya sebagai Kicking Bird dalam filem Dances with Wolves pada 1990.

Lakonan beliau dalam filem berkenaan melayakkan beliau menerima pencalonan Anugerah Akademi bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, sementara filem tersebut memenangi tujuh Oscar termasuk Filem Terbaik.

Menurut Deadline, Greene kemudian membina kerjaya yang stabil di Hollywood dengan membintangi filem seperti Maverick (1994), Die Hard with a Vengeance (1995), The Green Mile (1999), The Twilight Saga: New Moon (2009) dan Molly’s Game (2017). Beliau juga berlakon dalam Thunderheart (1992), Transamerica (2005) dan Wind River (2017).

Di televisyen, Greene muncul dalam siri Paramount+ 1883 dan Tulsa King, serta memegang watak utama atau berulang dalam Wolf Lake, Defiance, Marvel’s Echo, Northern Exposure, Longmire dan American Gods.

Sepanjang kerjayanya, beliau menerima pelbagai anugerah termasuk Grammy, Gemini dan Canadian Screen Award, selain memiliki bintang di Canada’s Walk of Fame.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button