JENAYAH & MAHKAMAH

Budak maut jatuh Jambatan Victoria, polis buka dua kertas siasatan

IPOH – Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter di Jambatan Victoria, Enggor, Kuala Kangsar, Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

BACA JUGA:
Kanak-kanak tiga tahun maut terjatuh dari Jambatan Victoria

Beliau berkata, beberapa individu turut dipanggil bagi memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Berdasarkan keterangan daripada beberapa saksi, mangsa dipercayai terjatuh ketika berjalan sebelum masuk ke dalam lubang yang terdapat di jambatan berkenaan.

“Siasatan awal juga mendapati tiada unsur kecuaian dalam kejadian berkenaan. Kita juga sedang menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan pihak Hospital Kuala Kangsar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) mengambil tindakan segera menutup akses ke bahagian struktur besi Jambatan Victoria itu kepada pengunjung sebagai langkah keselamatan.

Beliau berkata, penutupan bahagian struktur besi itu bersifat sementara sehingga kerja penggantian kayu landasan yang usang dan reput serta langkah keselamatan tambahan selesai dilaksanakan dan keadaan disahkan selamat untuk dibuka semula.

“Berdasarkan maklumat MPKK, pemantauan terhadap jambatan ini telah dibuat dari semasa ke semasa, dengan pemeriksaan fizikal terakhir di tapak pada 30 Jun 2026.

“Sebelum kejadian ini, permohonan peruntukan juga telah dibuat bagi kerja penyelenggaraan termasuk penggantian kira-kira 60 kayu landasan yang telah usang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sandrea turut berkata, sebagai langkah segera, MPKK juga sedang mendapatkan peruntukan kira-kira RM50,000 bagi pemasangan jaring keselamatan di bahagian bawah jambatan sementara menunggu peruntukan bagi kerja pembaikan lain.

Beliau berkata aspek keselamatan keseluruhan tapak juga akan diberi perhatian bersama pihak berkaitan bagi menentukan langkah penambahbaikan yang sewajarnya.

Isnin lepas, mangsa, Abdul Rafee Abdul Halim, 3, dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter di jambatan berusia lebih 125 tahun itu sekitar 6.30 petang, ketika berada di jambatan berkenaan bersama bapanya.

Mangsa dipercayai sedang berjalan sambil berpegangan tangan dengan bapanya sebelum terjatuh melalui satu lubang yang terdapat pada jambatan terbabit. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button