Kanak-kanak tiga tahun maut terjatuh dari Jambatan Victoria
KUALA KANGSAR – Percutian sebuah keluarga dari Kluang, Johor bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter di Jambatan Victoria, Enggor, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 7.40 petang tadi di Hospital Kuala Kngsar.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Charan Ai Wan berkata, insiden berlaku ketika mangsa berjalan sambil memegang tangan bapanya di atas jambatan bersejarah itu.
“Ketika kejadian mangsa bersama bapanya berjalan di atas jambatan itu sambil memegang tangan dan kemudiannya jatuh pada ketinggian lima meter di satu lubang pada jambatan berkenaan.
“Sejurus selepas terjatuh di atas jalan berturap di bawah jambatan, mangsa yang ketika itu masih hidup dikejarkan ke wad kecemasan hospital namun disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar pada pukul 7.40 malam,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata, mangsa bersama keluarganya datang bercuti ke Jambatan Victoria, Kuala Kangsar yang menjadi antara lokasi tumpuan pelancong.
Sementara itu, tinjauan di lokasi hari ini mendapati jambatan ikonik berkenaan ditutup kepada orang awam atas faktor keselamatan.
Kawasan kejadian turut dipasang pita larangan melintas oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan polis.
Seorang peniaga berhampiran lokasi yang mahu dikenali sebagai Nyah berkata, suami dan menantunya yang ketika itu menjaga gerai terdengar bunyi dentuman kuat sebelum menyedari seorang kanak-kanak terjatuh dari jambatan.
“Pada mulanya mereka menyangka bunyi itu datang daripada beg yang terjatuh, tetapi terkejut apabila mengetahui sebenarnya seorang kanak-kanak jatuh dari tempat tinggi.
“Memandangkan semalam adalah cuti umum sempena sambutan Hari Kebangsaan, memang ramai pelancong termasuk keluarga yang membawa anak kecil datang ke Jambatan Victoria untuk merakam gambar kenangan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








