SUKAN

Pearly-Thinaah akhiri penantian 18 tahun, julang gelaran Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk kembali menjulang gelaran Terbuka Denmark selepas muncul juara kejohanan itu, hari ini.

Pasangan nombor lima dunia itu menewaskan beregu Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita yang menghuni ranking ke-21 dunia, menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-11 pada aksi final di SJF Bank Arena, Odense.

Kejayaan itu membolehkan Pearly-Thinaah meraih gelaran kedua musim ini selepas menjuarai Masters Indonesia di Jakarta, Januari lalu.

Walau bagaimanapun, gelaran di Indonesia itu diraih tanpa perlu beraksi di final selepas pasangan Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri daripada perlawanan berkenaan.

Kemenangan di Denmark turut mencipta sejarah apabila Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia pertama menjuarai kejohanan itu sejak Wong Pei Tty-Chin Eei Hui melakukannya pada 2008.

Sebagai juara, Pearly-Thinaah membawa pulang trofi serta wang tunai AS$70,300 (RM287,000), manakala pasangan naib juara menerima hadiah wang tunai AS$33,250 (RM136,000).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button