BERITA SEMASASUKAN

Pearly-Thinaah kini duduki ranking nombor satu kelayakan Jelajah Dunia BWF

KUALA LUMPUR – Gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya menduduki tangga teratas ranking kelayakan Jelajah Dunia BWF buat kali pertama tahun ini.

Pasangan itu kini mengumpul 104,860 mata, sekali gus mengatasi beregu China, Liu Shengshu-Tan Ning yang berada di tempat kedua dengan 103,150 mata.

Kedudukan tersebut menjadi suntikan semangat buat Pearly-Thinaah untuk memburu satu lagi pencapaian bersejarah menduduki ranking nombor satu dunia pada masa akan datang.

Ranking Jelajah Dunia BWF dan ranking dunia adalah dua sistem berbeza; ranking Jelajah Dunia BWF hanya mengambil kira penyertaan dalam kejohanan Jelajah Dunia, manakala ranking dunia melibatkan semua kejohanan termasuk kejohanan rasmi dan berpasukan.

Ketika ini, Shengshu-Tan Ning masih mengekalkan kedudukan nombor satu dunia dengan 110,884 mata, manakala Pearly-Thinaah berada rapat di belakang dengan 91,316 mata.

Beregu negara itu dijangka menutup jurang berkenaan apabila beraksi dalam dua kejohanan berturut-turut bulan ini, iaitu Japan Masters di Kumamoto bermula 11 November dan Terbuka Australia (18 hingga 23 November).

Menariknya, Pearly-Thinaah akan turun sebagai pilihan utama dalam kedua-dua kejohanan tersebut selepas beregu utama China itu memilih untuk tidak menyertai saingan berkenaan.

Gandingan negara itu turut bertekad untuk menamatkan musim dengan gemilang apabila beraksi dalam Final Jelajah Dunia (World Tour Finals) yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 21 Disember ini di Hangzhou, China.

Setakat ini, Pearly-Thinaah belum pernah mara melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan berprestij itu, sekali gus menjadi peluang terbaik buat mereka mencipta kejayaan sulung di pentas dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button