Azizulhasni hadiahkan emas kelapan Malaysia di Sukan Asia
NAGOYA – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat emas kelapan kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menjuarai acara keirin lelaki dalam perlumbaan penuh mendebarkan, hari ini.
Pelumba berusia 38 tahun itu mempamerkan kayuhan berpengalaman apabila menunggu sehingga pusingan terakhir sebelum melancarkan pecutan bertenaga untuk memintas pencabar lain dan melintasi garisan penamat di hadapan.
Azizulhasni mencatat masa 10.330 saat (s) untuk meraih pingat emas, sekali gus menewaskan pelumba China, Li Zhiwei yang meraih perak dengan catatan 10.348s.
Seorang lagi wakil China, Xie Han membawa pulang gangsa selepas merekodkan masa 10.547s, manakala pelumba Jepun, Minato Nakaishi menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dengan catatan 10.597s.
Rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula menamatkan saingan di tempat kelima selepas mencatat masa 10.678s.
Kejayaan itu menyaksikan Azizulhasni menebus kekecewaan pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang apabila sekadar meraih pingat gangsa dalam acara sama.
Pingat emas tersebut turut mengukuhkan status Azizulhasni sebagai antara atlet paling berjaya negara di pentas antarabangsa, selain menambah koleksi emas Malaysia pada temasya sukan terbesar Asia itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








