LUAR NEGARA

12 paus pembunuh kerdil mati terdampar di pantai New Zealand

WELLINGTON — Sekurang-kurangnya 12 paus pembunuh kerdil (pygmy) ditemukan mati selepas terdampar di Pantai Ninety Mile, daerah Far North, Pulau Utara New Zealand,

Pegawai pemuliharaan Joel Lauterbach berkata, pihaknya menerima laporan mengenai 15 paus pembunuh kerdil terdampar pada Khamis sebelum operasi menyelamat digerakkan bersama sukarelawan.

Menurutnya, haiwan berkenaan ditemukan berselerakan sepanjang beberapa kilometer pantai, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat berikutan keadaan laut yang bergelora, ombak kuat dan perubahan pasang surut.

“Keadaan masih mencabar hari ini,” katanya.

Lauterbach berkata, pihak berkuasa kini mengumpulkan maklumat bagi memahami keadaan sebenar yang menyebabkan kumpulan mamalia laut berkenaan terdampar.

Usaha menyelamat turut membabitkan sukarelawan dan komuniti Maori, namun keadaan laut yang buruk menjadi antara cabaran utama operasi.

“Beberapa paus yang masih hidup berjaya dikembalikan ke laut,” katanya.

Kejadian seumpama itu pernah berlaku di lokasi sama pada 2018 apabila kira-kira 12 paus pembunuh kerdil turut terdampar.

Ketika itu, lapan daripadanya dibawa ke perairan lebih tenang untuk dilepaskan semula, namun hanya seekor berjaya bertahan.

Paus pembunuh kerdil merupakan spesies yang jarang ditemui. Walaupun namanya mengandungi perkataan ‘paus’, haiwan berkenaan sebenarnya tergolong dalam keluarga lumba-lumba.

Pihak berkuasa pemuliharaan New Zealand masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai punca kejadian terdampar beramai-ramai itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button