BERITA SEMASALUAR NEGARA

Paus pembunuh Albino muncul di perairan Hokkaido

HOKKAIDO — Seekor paus pembunuh albino yang jarang ditemui berjaya dirakam di perairan Hokkaido oleh jurugambar bebas terkenal Jepun, Noriyuki Hayakawa.

Mamalia laut luar biasa itu muncul di perairan wilayah itu yang disedari oleh sebuah bot pelancong sebelum Hayakawa dipanggil untuk merakam kehadirannya.

Hayakawa, 64, yang lebih 15 tahun menumpukan kerjayanya kepada dokumentasi paus pembunuh, menyifatkan pengalaman tersebut sebagai momen paling berharga dalam kerjayanya.

“Paus pembunuh dilihat melompat keluar dari permukaan air bersama kumpulan dari spesiesnya.

“Saya telah merakam gambar pelbagai paus pembunuh selama lebih sedekad namun ini kali pertama saya melihat seekor yang berwarna putih sepenuhnya. Ia benar-benar luar biasa,” katanya.

Beliau turut menyuarakan hasrat agar lebih banyak pihak dapat menyaksikan keunikan mamalia tersebut dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan hidupan marin.

Paus itu dikenali mempunyai corak fizikal yang serupa dengan paus pembunuh lain, namun warna putih menggantikan warna hitam yang biasanya terdapat pada spesies tersebut.

Ciri itu mencetuskan persoalan dalam kalangan pakar marin mengenai punca sebenar perubahan fizikal haiwan tersebut.

Menurut pakar, warna putih pada paus berkenaan mungkin berpunca daripada dua faktor genetik albinisme atau leucisme, kedua-duanya menyebabkan kehilangan pigmentasi pada kulit.

Namun, belum ada pengesahan rasmi mengenainya.

Insiden itu menjadi antara penemuan pauh pembunuh albino yang sangat jarang berlaku dan memberi peluang penting kepada para penyelidik untuk mengkaji variasi genetik dalam spesies itu.

Selain kepentingan saintifik, kemunculan paus itu turut menjadi simbol kepada pentingnya usaha memelihara ekosistem laut yang semakin terancam akibat perubahan iklim dan aktiviti manusia.

“Paus ini bukan sahaja simbol keindahan alam tetapi juga peringatan kepada kita semua tentang tanggungjawab untuk melindungi dunia semula jadi,” tambah beliau.

Hayakawa berharap dokumentasinya akan memberi impak kepada masyarakat umum serta memperkukuh usaha global dalam perlindungan hidupan laut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button