Protes pelajar sekolah menengah di Perancis bertukar ganas
PARIS – Protes pelajar sekolah menengah di seluruh Perancis bertukar ganas apabila ratusan sekolah ditutup susulan tindakan pelajar mengadakan sekatan, membakar objek di jalan raya dan berkonfrontasi dengan polis.
Kementerian Pendidikan Nasional Perancis memaklumkan sekurang-kurangnya 400 daripada kira-kira 3,700 sekolah menengah ditutup pada Jumaat, manakala 560 lagi melaporkan berlaku protes atau gangguan.
Protes bermula di beberapa sekolah menengah sekitar Paris minggu lalu itu kemudian merebak ke seluruh negara dan mencetuskan pertempuran antara pelajar dengan pihak berkuasa.
Bantahan berkait dengan sistem pendidikan yang didakwa daif kerana jumlah pelajar yang terlalu besar dalam setiap bilik kelas, kekurangan guru serta masalah guru tidak hadir yang didakwa menjejaskan proses pembelajaran.
Di beberapa lokasi, pelajar yang sebahagiannya memakai pelitup muka menyekat pintu masuk sekolah, menyalakan api di jalan raya dan berdepan dengan polis.
“Pelajar yang menyertai protes turut membawa plakad dengan tulisan, “Kami mempunyai masa depan untuk dibina, bukan untuk ditanggung,” lapor media antarabangsa.

Keadaan bertambah tegang apabila polis menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan pelajar yang berkumpul.
Kebakaran turut dilaporkan berlaku di pintu masuk dua sekolah menengah di Paris, iaitu Sekolah Menengah Leonard de Vinci di selatan bandar raya itu dan Gaston-Bachelard di tenggara.
Menteri Pendidikan, Edouard Geffray pula menggesa ibu bapa supaya menasihatkan anak mereka agar tidak menyertai protes berkenaan kerana keselamatan mereka menjadi keutamaan.
Katanya, sekurang-kurangnya 170 pelajar dan 65 kakitangan sekolah, termasuk 40 pengetua, cedera dalam insiden berkenaan.
Lebih 100 sekolah turut mengalami kerosakan serius akibat protes.
Gerakan pelajar itu berlaku serentak dengan mogok sektor awam bagi membantah rancangan belanjawan kerajaan, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Presiden Emmanuel Macron menjelang pilihan raya tahun depan.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi Amnesty International mempersoalkan tindakan pihak berkuasa terhadap pelajar yang menyertai demonstrasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








