LUAR NEGARA

Anak Tommy Thomas berisiko buta selepas bergelut dengan polis Australia

SYDNEY – Anak kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berisiko kehilangan penglihatan pada mata kanannya selepas didakwa terlibat dalam pergelutan dengan polis Australia semasa menyertai satu tunjuk perasaan.

Laporan The Guardian menyebut, Hannah Thomas mengalami kecederaan serius di bahagian muka ketika ditahan selepas menyertai satu protes di luar premis syarikat di Belmore yang didakwa membekalkan teknologi kepada tentera Israel, pagi kelmarin.

Kumpulan penunjuk perasaan itu difahamkan menyekat laluan pejalan kaki ke premis berkenaan dan mendakwa syarikat tersebut menyediakan “perkhidmatan penyaduran elektrik dan salutan permukaan untuk pelbagai aplikasi termasuk teknologi aeroangkasa dan pertahanan” yang digunakan oleh Israel.

Pihak berkuasa yang tiba di lokasi protes kemudian mengeluarkan arahan bersurai kerana protes tersebut dianggap “tidak dibenarkan”, atas alasan tiada notis awal diberikan dan kegagalan menyerahkan borang pengecualian yang diperlukan di bawah undang-undang antiproses.

Difahamkan, Hannah didakwa enggan mematuhi arahan tersebut dan telah ditahan.

Wanita berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian muka semasa tangkapan dan telah dibawa ke Hospital Bankstown untuk mendapatkan rawatan.

Imej yang tular dalam talian menunjukkan keadaan bengkak teruk di sekitar mata kanan Hannah, dan rakan serta ahli keluarga bimbang kecederaan itu mungkin menyebabkan kerosakan kekal.

Untuk rekod, Hannah pernah bertanding di kerusi Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di Grayndler sebagai calon parti Greens dalam pilihan raya persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button