Tiga maut dalam kebakaran di Makassar susulan protes bela kematian pemandu Ojek
MAKASSAR – Protes besar-besaran pengendali e-hailing di Indonesia berakhir dengan tragedi apabila sekurang-kurangnya tiga orang maut dalam kebakaran bangunan majlis perbandaran di bandar Makassar.
Kejadian itu tercetus susulan kemarahan orang ramai terhadap kematian seorang pemandu teksi motosikal atau Ojek, Affan Kurniawan, 21, yang dirempuh kenderaan polis ketika demonstrasi di Jakarta, Khamis lalu.
“Dalam protes malam tadi, tiga orang maut. Dua meninggal di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal di hospital. Mereka terperangkap dalam bangunan yang terbakar,” kata Setiausaha Majlis Perbandaran Makassar, Rahmat Mappatoba kepada AFP.
Beliau turut menuduh penunjuk perasaan menyerbu pejabat berkenaan sebelum membakar bangunan itu.
Ratusan pengendali e-hailing juga berhimpun di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Sumatera Utara bagi membantah kematian rakan sekerja mereka.
Media tempatan melaporkan Affan maut selepas dilanggar dan digilis kenderaan taktikal polis Indonesia, Kor Briged Bergerak (Brimob), ketika pihak berkuasa cuba menyuraikan demonstrasi di Jalan Penjernihan, Jakarta Pusat.
Rakaman kejadian itu tersebar luas di media sosial, mencetuskan kemarahan sehingga penunjuk perasaan mengejar kenderaan terbabit ke Markas Brimob di Jakarta Pusat untuk menuntut keadilan.
Ribuan pemandu Gojek turut mengiringi jenazah Affan ke Tanah Perkuburan Karet Bivak, Tanah Abang.
Susulan kes tersebut, tujuh anggota Brimob ditahan manakala Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, menemui keluarga mangsa bagi menyampaikan permohonan maaf rasmi.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, turut memberi jaminan bahawa anggota terbabit akan dikenakan hukuman sewajarnya.
Sementara itu, bapa kepada Affan, Zulkifli, merayu semua pihak agar bersabar dan tidak memperburuk keadaan.
“Cukup anak saya yang menjadi korban,” katanya penuh emosi sambil meminta masyarakat tidak terbawa perasaan.
Dia berkata, pihaknya sudah menyerahkan sepenuhnya proses keadilan kepada pihak berkuasa dan mengajak mahasiswa serta rakyat Indonesia membiarkan pihak polis menyelesaikan siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








