Malaysia kecam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid
KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh yang mengorbankan nyawa orang awam dan menyebabkan ratusan lagi cedera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam tidak boleh dibenarkan atas apa jua alasan.
“Membahayakan nyawa orang tidak bersalah hanya akan menambah penderitaan akibat konflik ini dan membawa kesannya ke tempat yang sepatutnya kekal bebas daripada ancaman sedemikian,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga : 12 maut lebih 300 cedera dalam serangan Lapangan Terbang Riyadh
Terdahulu, serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid mengakibatkan 12 orang terkorban manakala 309 lagi cedera, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA), semalam.
GACA memaklumkan, mangsa yang maut terdiri daripada empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.
Pada masa sama, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.
Anwar berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Kerajaan Arab Saudi dan rakyatnya dalam menghadapi saat genting itu.
Beliau turut menegaskan harapan Malaysia agar pendekatan diplomasi dan kewarasan dapat diutamakan sebelum konflik berkenaan merebak dengan lebih meluas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








